31 Mac 2015


Susulan isu Rang Undang-Undang Persendirian berkaitan hudud yang ditentang dua rakan sekutu, Parti Islam Se-Malaysia (PAS) mengakui bahawa masa depan Pakatan Rakyat (PR) dalam keadaan 'tidak pasti'.

Memetik laporan Sinar Harian, Datuk Seri Abdul Hadi Awang selaku Presiden PAS, mengakui untung nasib perikatan pembangkang yang ditubuhkan selepas PRU 2008 itu bukan berada di tangannya.

Beliau turut mengulas mengenai perjuangan PAS dalam menegakkan pelaksanaan hukum hudud.

"PR punyai masa hadapan? Saya sendiri tidak tahu. Tiada yang mudah dalam perjuangan, Namun Insya-Allah, PAS ada alternatif lain," ujarnya.

Menurut Abdul Hadi, beliau bersedia untuk bersemuka dengan mana-mana pihak yang ingin membincangkan mengenai perkara tersebut.

"Saya baru balik dari luar negara, saya bersedia untuk jumpa dengan semua, termasuk kerajaan, saya terbuka untuk berbincang," tambahnya.

Terdahulu Abdul Hadi pada 18 Mac memohon kepada Parlimen untuk membentangkan rang undang-undang hudud untuk meminda Akta Mahkamah Syariah 1965, bagi membolehkan Enakmen Jenayah Syariah II 1993 (Pindaan 2015) Kelantan dapat dilaksanakan mengikut perundangan Islam.

Walau bagaimanapun, usaha itu telah mencetuskan konflik di antara rakan pakatan PAS, iaitu DAP dan PKR yang sama sekali tidak bersetuju dengan langkah tersebut.
0 Comments
Disqus
Fb Comments
Comments :

0 Komen:

Catat Ulasan

Lazada Malaysia

Blog Serius - Serius Beb!