20 Mac 2015


Perlakuan seks luar tabii seperti lesbian serta bersetubuh dengan mayat dan haiwan tidak digugurkan sebagaimana dihebohkan di laman sosial, sebaliknya masih terkandung dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (II) (1993) yang diluluskan pindaannya hari ini.

Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah menjelaskan, hukuman untuk kesalahan perlakuan seks songsang tersebut dima­sukkan dalam senarai kesalahan liwat iaitu kategori sama untuk perlakuan gay.

Katanya, pengguguran Seksyen 19 hingga 21, iaitu perkara berkaitan perlakuan seks luar tabii dalam enakmen yang dipinda tidak bermaksud bahawa kesalahan seperti lesbian, bersetubuh dengan mayat atau haiwan tidak dikenakan hukuman.

“Kita tidak boleh sebut semua (lesbian, seks dengan mayat dan haiwan), benda itu semua masuk dalam liwat. Gugur perkataan bukan bermaksud tak apa, jangan faham seperti itu.

“Soalnya, hukuman liwat itu kekal (dalam enakmen), bila kekal, hukuman itu meliputi semua (perlakuan seks luar tabii). Gay, lesbian semua itu masuk dalam kesalahan liwat, itu sudah cukup,” katanya kepada pemberita selepas sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini.

Pengguguran Seksyen 19 hingga 21, iaitu lesbian, seks dengan mayat dan haiwan daripada Enakmen Kanun Jenayah Syariah II 1993 menyebabkan timbul salah faham di laman sosial apabila orang ramai berpendapat perlakuan songsang tersebut bukan satu ke­salahan dalam hukum hudud.

Dalam perkembangan berkaitan, Mohd. Amar yang juga Pengerusi Jawatankuasa Teknikal Kanun Jenayah Syariah II berkata, meskipun hudud belum boleh dilaksanakan, pihaknya sudah membuat persiapan rapi berkaitan prosedur pelaksanaan hukuman di bawah undang-undang Islam itu.

“Dalam bengkel anjuran bersama pihak Jakim (Jabatan Kemajuan Islam Malaysia), kita telah kumpulkan para mufti, hakim syarie, pakar perubatan, perundangan, pihak penjara dan polis untuk kita bincang kaedah bagaimana nak laksanakan hukuman.

“Bagaimana merotan, nak potong tangan dan sebagainya, semua sudah sedia namun akan didedahkan kemudian,” katanya.

Beliau turut memberitahu, Kerajaan Pas Kelantan bercadang untuk mewujudkan sebuah galeri di Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JHEAIK) bagi memberikan kefahaman kepada orang ramai bagaimana hukuman hudud dijalankan.

Mengenai isu hudud yang dibawa ke mahkamah oleh Gerakan semalam, Mohd. Amar membe­ritahu, pihaknya sedang menunggu arahan lanjut daripada mahkamah sebelum melakukan tindakan susulan.

“Kalau ada kes, kita lawan, kita pun ada peguam juga. Saya rasa perkara ini tidak jejaskan usaha Pas Kelantan sebab kita bukan hendak buat hudud besok. Banyak lagi proses perlu kita lalui,” katanya.

0 Comments
Disqus
Fb Comments
Comments :

0 Komen:

Catat Ulasan

Lazada Malaysia

Blog Serius - Serius Beb!