16 Mac 2015


PELAKON berasal dari Brunei, Nina Iskandar mengakui letih untuk mengulas mengenai ikatan pertunangannya dengan Ahmed Haiqal yang dikhabarkan sudah putus.

Nina, 24, berkata beliau lebih selesa tidak mengulas lebih lanjut mengenai status hubungan dengan tunangnya itu kerana baginya ia bersifat terlalu peribadi untuk dikongsi umum.

Malah Nina juga enggan memberikan komen berhubung pelakon Uqasha Senrose yang dikatakan menjadi punca keretakan hubungan mereka.

"Sebenarnya perkara ini terlalu peribadi jadi saya tidak mahu mengulas lanjut mengenai perkara ini. Malah saya juga tidak tahu mengenai kewujudan orang ketiga dan tidak mahu memberikan sebarang komen juga," kata Nina kepada BH Online.

Nina memilih untuk mengunci mulut mengenai status hubungan dengan tunangnya. Nina dan Haiqal telah mengikat tali pertunangan pada bulan Ogos 2014 namun hubungan mereka dikatakan retak dengan kehadiran orang ketiga.

Sementara itu, Nina turut terkilan apabila tindakannya muncul dengan penampilan bertudung dipersoalkan oleh segelintir pengikut di laman sosial Instagram selepas dia memuat naik gambar dan video yang menampakkan rambutnya.

"Saya sudah bosan kerana ramai yang kata saya sudah tidak bertudung. Padahal 'photoshoot' yang diadakan di Brunei ini saya memakai topi bagi menutup rambut saya.

"Kalau pakai topi atau turban bukan bermakna sudah tidak bertudung. Ramai saja artis wanita yang saya lihat memakai turban walaupun mereka berhijab. Isu ini saya tak nafikan memang sangat sensitif dan susah untuk saya memberikan komen.

"Namun orang yang sering mengkritik ini seolah-olah tidak mempunyai benda lain untuk dibuat kerana sering kali melihat kesalahan orang lain. Saya pun manusia juga dicipta dengan kelebihan dan kekurangan diri sendiri.

"Yang penting ini hidup saya dan saya bukan hidup untuk orang lain. Tapi biasalah mulut akan tetap cakap kerana ia adalah lumrah manusia. Jadi biarlah mereka bercakap apa yang ingin mereka katakan," kata Nina.

Sementara itu, Nina berkata, drama bersiri yang dijayakannya berjudul Dendam Semalam ditayangkan mulai esok di slot Azalea untuk siaran TV3.

"Dua drama bersiri saya akan ditayangkan untuk TV3 iaitu Dendam Semalam dan Aku Bersujud. Malah saya turut menerima beberapa tawaran untuk bulan April ini jadi saya menggunakan kesempatan ini untuk berehat di Brunei," kata Nina mengakhiri perbualan.
0 Comments
Disqus
Fb Comments
Comments :

0 Komen:

Catat Ulasan

Lazada Malaysia

Blog Serius - Serius Beb!