3 Mac 2015


SELEPAS kisah skandal bernikah dua kali dua tahun lalu, pasangan Aeril Zafrel dan Wawa Zainal kini semakin tenang melayari bahtera rumah tangga bersama-sama. Kisah yang menggemparkan Malaysia suatu ketika itu bagai mempunyai hikmah tersendiri buat pasangan pelakon yang kini dianugerahkan seorang cahaya mata, Ahmad Fakhruddin Attar, setahun enam bulan.

Bagi Wawa atau nama sebenarnya, Nur Hawa Zainal Abidin, 23, fokusnya kini diberikan kepada urusan rumah tangga dan membesarkan anak tunggalnya berbanding dunia seni.

Kata pelakon muda itu, dia mahu melihat anaknya membesar di depannya memandangkan suaminya, Aeril kurang mempercayai khidmat pembantu rumah.

“Segala urusan seperti pengurusan anak, kami lakukan secara bergilir-gilir. Sekiranya Aeril tidak berlakon, tanggungjawab itu diserahkan kepadanya dan begitulah sebaliknya. Bukan bermakna saya mahu bersara daripada dunia seni, sebaliknya saya cuba memperlahankan aktiviti berlakon buat sementara waktu demi keutamaan keluarga.

“Saya masih mendapat tawaran untuk berlakon, malah beberapa bulan lalu saya ada membintangi beberapa buah telefilem terbitan Astro Oasis dan tidak lama lagi saya akan kembali berlakon untuk sebuah drama episod yang masih dalam peringkat perbincangan.

“Mengenai syarat untuk berlakon pula, rasanya pengarah dan penerbit sekarang memahami situasi saya dan watak yang ditawarkan pun tidak melampaui batasan sebagai seorang wanita yang sudah berkahwin dan berhijab.

“Namun, sebagai pelakon yang sudah berkeluarga, saya sendiri tidak pernah meletakkan sebarang syarat mengenai jadual lakonan setiap kali mendapat tawaran. Saya tidak kisah sekiranya perlu bekerja dalam tempoh waktu yang lama kerana itu tugas saya sebagai pelakon,” ujarnya yang ditemui pada majlis pelancaran dan pelantikannya sebagai duta syarikat Blinq Sistarz Sdn. Bhd. di Pusat Konvensyen Sime Darby, Bukit Kiara, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Wawa telah dilantik menjadi duta kepada minuman kesihatan berkenaan sejak bulan Ogos tahun lalu dan sebelum menandatangani kontrak bersama produk tersebut, pelakon filem 99 Kali Rindu itu telah mengamalkan produk kesihatan dan kecantikan berasaskan sunah tersebut.

Jelas Wawa, apabila mengamalkan produk tersebut dia lebih bertenaga dan aktif menjalani kehidupan yang sibuk setiap hari.

Terkenal dengan rangkaian produk seperti Blinq Beauty Drink, Blinq Fabuliuz Coffee and Choco, Blinq Foundation, Blinq Skincare, Blinq Nanoserum dan Blinq Beauty Bar, pemilihan Wawa sebagai duta kata pengasasnya, Laila Khan, dirasakan tepat memandangkan pelakon itu memenuhi ciri-ciri imej Muslimah, keayuan dan persepsi baik kepada pengguna pelbagai golongan.

Dalam pada itu, ditanya mengenai syaratnya terhadap Aeril apabila digandingkan dengan wanita lain dalam drama atau filem selepas mereka mendirikan rumah tangga, jawab Wawa, mereka akan berbincang setiap kali mendapat tawaran.

Bagaimanapun jelas Wawa, dia meletakkan kepercayaan penuh terhadap suaminya apabila berada di luar rumah.

“Sekarang pun Aeril sedang sibuk dengan penggambaran sebuah drama, bagi saya tiada masalah untuk dia terus aktif berlakon kerana itu mata pencarian kami sejak dahulu lagi. Saya pun tiada masalah apabila Aeril berlakon dengan perempuan lain kerana saya faham dia bukan seorang playboy. Dia tahu sempadan dia dan tiada sebab untuk kami cemburu antara satu sama lain.

“Namun, sekiranya ada babak yang memerlukan dia bersentuhan dengan wanita lain untuk mendapatkan babak yang lebih realistik, saya tiada masalah dan saya juga tidak meletakkan sebarang syarat untuk dia,” tambah Wawa yang tidak merancang untuk mendapatkan zuriat kedua dalam masa terdekat selepas ini.


0 Comments
Disqus
Fb Comments
Comments :

0 Komen:

Catat Ulasan

Lazada Malaysia

Blog Serius - Serius Beb!