18 Mac 2015


"Jika orang cakap saya gedik, saya setuju. Tapi gedik itu ada banyak maksudnya. Saya jenis yang 'happy go lucky', suka buat lawak dan ketawa kuat. Itu diri saya yang sebenarnya," kata pelakon Ayda Jebat apabila ditanya mengenai sikapnya itu.

"Saya terima apa saja pandangan orang. Nak kata gedik, katakanlah. Di dunia ini bukan semua orang akan sukakan kita," kata Ayda ketika ditemui BH Online ketika sidang media Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) 2014 bagi memperkenalkan hos, barisan penyampai trofi dan artis membuat persembahan di Hotel Royale Chulan semalam.

Namun, bukan sikap gedik itu yang mengangkat nama Ayda di persada seni sehinggakan beliau antara yang diramal bakal bergelar Bintang Paling Popular ABPBH.

Tahun ini, nama Ayda Jebat menyerlah sebagai pelakon selepas membintangi drama Rindu Awak 200% di TV3. Hakikatnya sebelum itu Ayda terlebih dulu menyertai pertandingan Akademi Fantasia tetapi bakatnya tidak terserlah ketika itu.

Lalu kedengaran impak dan pengaruh drama berkenaan sedikit sebanyak mampu memberi tempias kemenangan kategori Bintang Paling Popular kepada Ayda yang sinonim dengan baris ayat "muah ciked". Mungkinkan Bintang Paling Popular bakal menjadi miliknya?

"Jika ada yang meramalkan saya untuk kategori itu saya melihat ia sebagai rezeki. Alhamdulillah jika saya dapat, ABPBH satu anugerah yang cukup besar kepada saya dan sangat berprestij," katanya yang dicalonkan dalam kategori Artis Baharu Wanita Popular, ABPBH 2014.

Ditanya mengenai kategori artis baharu wanita, Ayda menzahirkan rasa kecewa jika trofi itu tidak menjadi miliknya.

"Saya ada empat lagi yang bersaing dalam kategori itu. Semua ada kelebihan dan produk masing masing. Jika saya menang kategori ini, syukur Alhamdulillah.

"Jika tak menang memang akan kecewa kerana tahun ini umpama tahun kelahiran Ayda Jebat. Saya berasakan jika tak menang tahun ini, kebarangkalian untuk tercalon lagi pada ABPBH mendatang agak tipis," katanya.

Ayda hingga saat ini tidak menafikan impak drama Rindu Awak 200% itu cukup besar dalam kerjaya seninya.

"Kejayaan dan fenomena drama ini bukan sebab saya seorang saja tetapi semua yang bekerja di belakangnya termasuk pengarah dan kru. Zul ariffin semestinya hero saya dalam drama itu.

"Mereka yang berada di belakang tabir serta pelakon lain banyak membantu saya. Bayangkan hari-hari saya datang set penggambaran menangis untuk merealisasikan amanah yang diberi.

"Cuma harapan saya selepas ini peminat akan beri peluang untuk saya buktikan bakat drama lakonan saya yang lain pula selepas Rindu Awak 200%," katanya.
0 Comments
Disqus
Fb Comments
Comments :

0 Komen:

Catat Ulasan

Lazada Malaysia

Blog Serius - Serius Beb!