30 Mac 2015


Fasha Sandha masih melihat kepentingan dan keutamaannya untuk menguruskan anak di rumah biarpun ada pembantu rumah. Sebagai ibu kepada dua anak, Fasha tidak mahu tanggungjawab itu diambil alih pembantu rumah.

Barangkali bimbang dengan apa yang sering dipaparkan di dada akhbar, laman maya dan TV mengenai sikap jengkel sesetengah pembantu rumah yang tidak mempunyai peri kemanusiaan, Fasha lebih berhati-hati dalam hal itu.

Menerusi perkahwinannya dengan Rizal Ashram Ramli pada April 2012, mereka dikurniakan Putra Rayfal Ramli dan Putri Raysha Jemaima. Fasha kini dilihat begitu bahagia meniti fasa indah dirinya bergelar isteri dan ibu.

"Alhamdulillah, saya memanjat kesyukuran atas kehidupan ini. Hidup rasa gembira dan meriah dengan kehadiran dua anak yang melengkapkan kehidupan. Rasa sempurna diri ini sebagai wanita.

"Rutin di rumah saya memang sibuk sebenarnya menjaga anak. Biarpun ada pembantu rumah, saya tak suruh dia buat semua kerja berkaitan anak. Kebanyakannya untuk soal anak di rumah, saya buat sendiri.

"Dalam erti kata lain, apa saja urusan di rumah membabitkan anak mesti ada ahli keluarga. Saya tak percayakan 100 peratus khidmat pembantu rumah. Jadi kalau saya dan suami ada komitmen kerja, sesekali ibu dan ibu mentua pasti ada membantu menjaga anak," katanya kepada BH Online.

Malah, ketika temubual ini diadakan pada masa berlangsungnya majlis resepsi Hanez Suraya dan Romie Razin Adilha di Pusat Konvesyen Sime Darby, Fasha memberitahu suaminya Jejai menjaga anak di rumah.

"Nak bawa anak kecil ke majlis sebegini takut menyusahkan pula. Jadi saya tinggalkan anak di rumah bersama suami yang sangat memahami," katanya.

Dalam perkembangan lain, Fasha menjelaskan rutin seninya berjalan seperti biasa selain sibuk dengan perniagaan yang diceburinya. Fasha kini turut memiliki rangkaian produk Jemyma yang diambil bersempena nama anak perempuannya.

Produk jenama itu khusus dalam rangkaian barangan seperti pewarna bibir, jus tenaga dan kolagen. Mengikut Fasha tak lama lagi, dia akan keluar dengan rangkaian jenama baju pula.

"Saya akan ke lokasi penggambaran filem Anak Mami Nasi Kandar arahan Prof A Razak Mohaideen pertengahan April depan di samping Saiful Apek. Selain itu saya juga akan terbabit dengan penggambaran drama terbitan Global Station bagi siaran Astro," katanya.

Pada akhir perbualan, Fasha memberitahu dia masih berusaha untuk menguruskan badan.

"Saya masih berusaha untuk kembali ke berat badan ideal. Ia satu yang bergerak perlahan tetapi pasti. Susah sebenarnya nak kurangkan berat badan selepas melahirkan anak. Ia situasi normal. Kita kena kuat," katanya.

0 Comments
Disqus
Fb Comments
Comments :

0 Komen:

Catat Ulasan

Lazada Malaysia

Blog Serius - Serius Beb!