18 Mac 2015


Speaker Parlimen Singapura merayu kepada rakyat agar tidak keluar negara sepanjang cuti empat hari yang diberikan sempena meraikan hari kebangsaan ke-50 pada Ogos depan.

Memetik laporan Channel News Asia, Halimah Yaakob selaku Speaker Parlimen menyuara rayuan berkenaan sejurus kerajaan republik itu mengisytiharkan cuti tambahan sempena hari kebangsaan.

Kenyataan Halimah menyeru rakyat Singapura agar tidak bercuti di luar negara ketika cuti panjang hujung minggu Ogos yang bakal menjelang. Menurut beliau rakyat Singapura sering mengambil peluang bercuti di luar negara bersama-sama keluarga jika ada cuti panjang di hujung minggu.

"Saya amat berharap sambutan ulang tahun hari kebangsaan ke-50 ini dapat dirai bersama-sama. Pasti menyedihkan apabila melihat suku daripada penduduk Singapura bercuti di luar negara ketika sambutan itu," ujarnya.

Kerajaan Singapura sebelum ini telah mengisytiharkan 7 Ogos sebagai cuti umum sempena sambutan berkenaan. Cuti tambahan pula jatuh pada hari Jumaat dengan Isnin secara automatik menjadi cuti umum kerana hari kebangsaan pada tahun ini jatuh pada hari Ahad. 

Ini sekaligus menandakan rakyat Singapura akan menikmati cuti hujung minggu yang panjang dari 7 hingga 10 Ogos.

Halimah turut menambah supaya rayuannya itu turut disokong oleh agensi percutian.

"Kerajaan tidak sesuka hati mengisytiharkan cuti. Kita sudah memikirkannya secara mendalam. Adalah penting bagi kita meraikan bersama keluarga, rakan dan jiran supaya kita dapat menikmati makna sebenar sebahagian daripada negara," katanya.
0 Comments
Disqus
Fb Comments
Comments :

0 Komen:

Catat Ulasan

Lazada Malaysia

Blog Serius - Serius Beb!