19 Mac 2015


Pendakwah terkenal, Datuk Mohd. Kazim Elias diminta tidak meneruskan hasrat untuk berhenti daripada berceramah, meskipun berhadapan dengan beberapa isu yang mencemarkan nama baiknya sejak kebe­lakangan ini.

Tinjauan Utusan Malaysia di sekitar bandar raya ini mendapati, penduduk tempatan berharap Mohd. Kazim atau Ustaz Kazim tidak terlalu mengambil peduli tentang isu membabitkan dirinya sehingga mahu berhenti berceramah.

Pekerja swasta, Norsadrina Ismail, 25, berkata, apa yang lebih penting ialah Mohd. Kazim perlu menjalankan tanggungjawabnya sebagai pendakwah.

“Beliau perlulah tegas dan berpendirian. Apa yang penting ialah tanggungjawab kepada agama dan kepentingan pelajar di pusat pengajiannya, Al-Barakah.

“Berdiam diri bukanlah bermaksud kita salah. Ramai yang menyokong beliau, jadi, janganlah sia-siakan sokongan yang telah diberi,” katanya di sini hari ini.

Kelmarin, Mohd. Kazim ketika dalam program Ceramah Perdana Sempena Peringatan Hari Polis ke-208 di Kem Pasukan Gerak Am (PGA) Ulu Kinta dekat sini membayangkan hasrat untuk berhenti daripada berceramah dalam tempoh terdekat, dipercayai berikutan beberapa isu membabitkan dirinya sejak kebelakangan ini.

Seorang pekerja swasta, Mohd. Shafiq Noordin, 26, juga berpendapat bahawa Mohd. Kazim tidak sepatutnya berhenti daripada memberi ceramah.

Mohd. Shafiq yang bersimpati dengan ‘ujian’ menimpa pendakwah bebas itu memberitahu, Mohd. Kazim perlu memikirkan perkara itu bukan dari sudut dirinya sahaja, tetapi pengikut beliau yang ramai.

“Dulu mana ada ada golongan belia yang berminat sangat mengikuti ceramah agama, tetapi sekarang ini ramai anak muda semakin berminat untuk menghadiri ceramah beliau.

“Pengisian beliau dalam setiap ceramahnya telah mengubah persepsi anak muda. Perkara itu sekali gus dapat mengembangkan dakwah Islam. Sayang kalau beliau berhenti,” ujarnya.

Penduduk tempatan, Muhammad Mushairi Mohd. Johari, 25, juga sependapat bahawa Mohd. Kazim sebagai seorang penceramah agama tidak sewajarnya mengambil keputusan berhenti berdakwah, memandangkan beliau menyampaikan perkara yang benar.

“Adalah satu kehilangan kepada golongan muda seperti saya yang tertarik dengan ceramah-ceramah beliau. Saya berharap beliau akan terus berceramah dan menyampaikan dakwah-dakwah yang bermanfaat kepada umat Islam,” jelasnya.

0 Comments
Disqus
Fb Comments
Comments :

0 Komen:

Catat Ulasan

Lazada Malaysia

Blog Serius - Serius Beb!