7 April 2015


Individu yang mempunyai masalah kewangan disaran tidak malu untuk tampil mendedahkan beban hutang yang terpaksa ditanggung oleh mereka kepada agensi bertauliah bagi mengelak diri diisytihar muflis pada usia muda.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata, dalam tempoh 2007 hingga Mac lalu, seramai 329,149 telah mendapat khidmat kaunseling dan nasihat daripada Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK).

Bagaimanapun, menurutnya, hanya 39 peratus atau 127,389 yang tampil untuk mendapatkan khidmat AKPK menerusi Program Pengurusan Kredit.

“Sikap malu dan tidak mengakui sedang berhadapan dengan beban hutang yang tinggi akibat perbelanjaan di luar kemampuan mendorong masyarakat kita terutama golongan berusia 25 hingga 45 tahun direkodkan bankrap pada usia yang tidak sepatutnya.

“Mereka tidak perlu rasa segan untuk tampil menerima bantuan kaunseling daripada AKPK sebelum nilai hutang yang terpaksa ditanggung akan menjadi lebih besar. Kalau malu untuk datang ke pejabat AKPK, boleh juga hubungi talian telefon mereka,” katanya pada sidang akhbar selepas me­ngadakan lawatan di pejabat AKPK di sini semalam.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif AKPK, Azaddin Ngah Tasir dan Pengurus Besar Bahagian Operasi AKPK, Nor Fazleen Zakaria.

Rohani memberitahu, bebanan hutang yang tidak dapat dikawal menyumbang kepada peningkatan masalah sosial antaranya seperti kemurungan, perceraian, pende­raan dan bunuh diri.

Katanya, punca kebanyakan individu berkenaan mengalami masalah kewangan adalah di­sebabkan pinjaman kenderaan dan pinjaman peribadi yang tinggi selain penggunaan kad kredit yang melampau.


0 Comments
Disqus
Fb Comments
Comments :

0 Komen:

Catat Ulasan

Lazada Malaysia

Blog Serius - Serius Beb!