17 April 2015


Di sebalik desakan pihak tertentu supaya meletakkan jawatan, Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir hari ini me­negaskan tiada sebab untuk beliau berbuat demikian.

Beliau menyifatkan jawatan Menteri Besar tersebut merupakan amanah daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan rakyat negeri ini.

Mukhriz turut menafikan khabar angin beliau akan meletakkan jawatan yang disandangnya itu pada 24 April ini.

“Tiada sebab untuk saya lepaskan jawatan ini, kerana ini amanah daripada Perdana Menteri dan amanah rakyat.

“Jadi tidak timbul sebarang masalah yang begitu besar sehingga memerlukan saya meletakkan jawatan,” katanya ketika ditemui dalam Majlis Perasmian Program Jalinan Tani di Kerpan dekat sini hari ini.

Beliau yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri mengulas tentang desakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Lada, Datuk Ahmad Lebai Sudin baru-baru ini yang mendesak beliau untuk meletak jawatan sebagai Menteri Besar jika gagal menyokong Perdana Menteri.

Ahmad meminta Mukhriz menyatakan sokongannya kepada Perdana Menteri dengan segera sebagaimana yang dilakukan oleh Badan Perhubungan UMNO negeri lain.

Mukhriz kemudian menegaskan UMNO Kedah akan membuat pendirian berhubung perkara itu selepas bermesyuarat pada 24 April ini.

Sebuah blog hari ini turut memuatkan khabar angin berhubung peletakan jawatan Mukhriz sebagai Menteri Besar pada 24 April ini.

Menurut blog itu, Mukhriz akan turut melepaskan jawatan Pengerusi Perhubungan UMNO negeri, Ketua Bahagian Jerlun dan semua jawatan lain yang disandang atas kapasiti sebagai Menteri Besar.

Sementara itu, di Alor Setar, Pergerakan Pemuda, Wanita dan Puteri UMNO negeri memohon Mukhriz tidak mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung pendirian terhadap kepemimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak walaupun pernah menyatakan akan berbuat demikian pada 24 April ini.

Ketua Pemuda UMNO ne­geri, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin berkata, perkara itu bagi mengelakkan Mukhriz menjadi mangsa putar belit pihak tidak bertanggungjawab yang mahu mengambil kesempatan.

Beliau berkata, pendekatan itu secara tidak langsung membolehkan Mukhriz yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri memberi tumpuan kepada tugasan untuk memperkukuhkan parti dan urusan mentadbir negeri,” katanya selepas mengadakan sesi dialog dan pertemuan dengan Menteri Besar di Bangunan Tunku di sini hari ini. Yang hadir sama Ketua Wanita UMNO negeri, Datuk Maznah Abdul Hamid dan Ketua Puteri negeri, Datin Norashimah Md. Nowar.

Pada masa sama, beliau menyifatkan kenyataan ADUN Bukit Lada yang mendesak Muhkriz meletak jawatan jika gagal membuat pendirian sebagai pandangan peribadi dan tidak mewakili UMNO negeri.

0 Comments
Disqus
Fb Comments
Comments :

0 Komen:

Catat Ulasan

Lazada Malaysia

Blog Serius - Serius Beb!