23 April 2015


WALAUPUN berani beralih angin untuk berkhidmat dengan kelab, namun Rashid Sidek yang kini merupakan ketua jurulatih perseorangan Akademi Badminton Sports Affairs me­ngakui tidak pernah mengubah impiannya untuk melahirkan ja­guh badminton dunia.

Rashid berkata, beliau akan sentiasa bekerja keras untuk me­lahirkan lebih ramai pemain berkualiti yang mampu menjulang nama negara di pentas antarabangsa biarpun tidak lagi bekerja secara langsung dengan Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

“Memang jiwa saya pada badminton dan kalau boleh saya mahu membantu pemain-pemain di kelab ini menaikkan lagi mutu permainan, memperbaiki ranking dan seterusnya menjadi juara pada kejohanan-kejohanan antarabangsa.

“Peranan saya lebih kurang sama ketika berada di BAM iaitu sebagai jurulatih tetapi apa yang penting ialah tujuan saya di sini untuk melahirkan juara-juara kerana ini misi saya dan kelab.

“Saya diberikan peranan untuk mengetuai latihan, jadi tugas saya masih berat kerana perlu memastikan setiap pemain mempunyai komitmen yang tinggi dan bukan sekadar berlatih sahaja,” kata Rashid ketika ditemui di pusat latihan Sports Affairs di Cheras, Kuala Lumpur semalam.

Biarpun mengakui tekanan di kelab itu masih belum boleh menandingi tugasnya ketika di BAM, namun beliau akan membuktikan kemampuannya untuk melahirkan lebih ramai pemain yang berpotensi.

“Bagi saya, kewujudan kelab seperti ini bagus untuk badminton negara kerana ia akan mewujudkan suatu persaingan yang sihat dan kami di sini pun mempunyai misi yang sama dengan BAM,” jelas Rashid.

Rashid tidak menyambung kontraknya dengan BAM yang tamat pada penghujung Mac lalu kerana ingin mencuba cabaran baharu di kelab badminton tempatan.

Difahamkan, Rashid yang menerima kontrak dua tahun akan dibantu jurulatih dari Indonesia, Nova Armada untuk membimbing dua bekas pemain BAM, Mohamad Arif Abdul Latif, Tan Chun Seang serta dua pemain dari Indonesia, Fikri Ihsandi Hadmadi dan Rusydina Antardayu Riodingin.

Turut menyertai Rashid di kelab itu ialah bekas jurulatih beregu, wanita negara, Rosman Razak yang akan menjaga skuad beregu antaranya Hoon Thien How-Lim Khim Wah dan beberapa lagi pemain muda.

Dalam pada itu, diminta mengulas me­ngenai perancangan baharu Pengarah Teknikal BAM, Morten Frost Hansen yang melantik Hendrawan sebagai jurulatih jaguh negara, Datuk Lee Chong Wei, Rashid berkata, beliau percaya jurulatih dari Indonesia tersebut mampu membawa perubahan positif.

“Frost ada perancangan sendiri dan untuk masa depan, mungkin dia mahu buat sedikit perubahan dengan corak permainan Chong Wei. Dia juga sudah tentu percaya Hendarawan boleh buat sesuatu untuk mempelbagaikan corak permainan Chong Wei,” katanya.


0 Comments
Disqus
Fb Comments
Comments :

0 Komen:

Catat Ulasan

Lazada Malaysia

Blog Serius - Serius Beb!