14 April 2015


Pemuda UMNO tidak memberikan sokongan membuta tuli kepada kepimpinan parti khususnya Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak, yang juga Perdana Menteri, hanya disebabkan mahu terus memegang jawatan.

Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin berkata, sokongan pergerakan itu kepada kepimpinan parti disebabkan Pemuda mahukan parti kekal kuat serta terus berjaya dan bukan tersungkur pada masa akan datang.

"Kita anak muda dalam UMNO dan kalau kita bagi sokongan membuta tuli kepada pemimpin yang memberikan pendapat yang tidak boleh dipertahankan, bukan hanya pemimpin itu akan jatuh, tapi kapal UMNO akan karam dalam pilihan raya akan datang.

"Buat apa kita saja nak bermuka-muka depan Presiden, depan Perdana Menteri, hanya kerana hendak jaga kedudukan kita?

"Mungkin saya ada jawatan, tapi rata-rata exco Pemuda tiada, mereka adalah pemimpin akar umbi... jadi tak mungkin mereka beri keyakinan kepada saya yang mereka menyokong Presiden jika mereka merasakan Presiden tidak layak disokong.

"Kita bagi sokongan hari ini sebab kita yakin dan percaya dengan kepimpinan Presiden," katanya kepada pemberita dalam sidang akhbar selepas majlis perjumpaan dengan Najib di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.

Perjumpaan ini adalah perjumpaan kedua Najib dengan pemimpin sayap UMNO selepas perjumpaan dengan Wanita UMNO pada minggu lepas.

Dalam perkembangan berkaitan, Khairy turut memberitahu, Pemuda UMNO mahukan kepimpinan parti terus mendekati rakyat dalam menyampaikan maklumat dan pencerahan mengenai pelbagai isu berbangkit sebelum ini termasuk Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).

"Saya turut menyuarakan agar Presiden perlu turun lebih banyak mendekati rakyat agar segala isu dapat dijelaskan.

"Penjelasan melalui wawancara menggunakan televisyen sebelum ini adalah titik tolak untuk Presiden meneruskan penjelasan kepada rakyat," katanya.

Sementara itu, Khairy turut berkata, parti tidak boleh berada dalam keadaan sindrom penafian walaupun berjaya mengatasi pelbagai masalah ketika ini.

"Kita harus akui kini cabaran parti amat besar tapi penjelasan Presiden tadi amat penting untuk beri keyakinan kepada Pemuda UMNO untuk terus beri sokongan kepada pemimpin.
0 Comments
Disqus
Fb Comments
Comments :

0 Komen:

Catat Ulasan

Lazada Malaysia

Blog Serius - Serius Beb!