28 April 2015


Jatuh bangun adalah lumrah kehidupan. Hidup umpama putaran roda. Begitu juga dalam mengharungi kehidupan sebagai anak seni dan Datuk Aznil Nawawi turut faham hakikat itu bahawa dia tidak akan berada di kemuncak selama-lamanya. Jadi tidak benar andai ada dakwaan mengatakan beliau tidak mampu menerima zaman kejatuhan. 

Bagi Aznil dia sudah lama bersedia untuk memberi ruang kepada muka baharu. Sebagai contoh, dia bersedia melihat trofi Pengacara TV Lelaki Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) beralih tangan kepada muka baharu. Selama 10 tahun memegang rekod sebagai pemenang kategori berkenaan sejak 2003 hingga 2010, trofi itu pernah bertukar tangan kepada Zizan Razak pada ABPBH 2011.

Bagaimanapun ia kembali ke tangan Aznil pada ABPBH 2012 dan bertukar tangan kepada Datuk AC Mizal pada 2013. Namun rezeki kembali memihak Aznil untuk dinobatkan sebagai Pengacara TV Lelaki Popular ABPBH 2014. "Selepas zaman mengacara Pop Kuiz lagi sebenarnya saya sudah menerima hakikat populariti diri sudah jatuh. Tapi sehinggalah muncul pertandingan realiti Akademi Fantasia, nama saya kembali mekar di persada pengacaraan. 

Program itu memberi impak tersendiri dalam kerjaya seni saya. Saya sudah lalui era kejatuhan sejak dahulu lagi. "Saya sedar tak selamanya kita akan disanjung dan dipuja. Tapi saya mula sedar, yang jatuh itu tidak bererti kita tak boleh bingkas bangun. Kekalahan saya kepada Zizan pada ABPBH 2011, bagai memberikan saya satu isyarat untuk terus kekal relevan saya perlu lakukan sesuatu. Saya tak boleh terus di takuk lama. Saya tak rasa kalah ketika itu, ia seperti ketukan untuk saya sedar dari lamunan," kata pengacara Apa Kata Malaysia di Astro itu. 

Sejujurnya hingga saat ini, lelaki yang mesra dengan panggilan Pak Nil itu tidak menyangka kemenangan di ABPBH 2014 akan kembali ke genggamannya. Aznil memberitahu, beliau melihat keampuhan legasi Datuk AC Mizal akan berpihak kepadanya. Tetapi siapa sangka, majoriti masih mempercayai kredibilitinya sebagai pengacara berbakat. "Besar gerak hati saya melihat AC Mizal menerima trofi Pengacara TV Lelaki Popular. 

Cuma saya benar-benar terperanjat apabila dapat tahu nama saya yang diumumkan sebagai pemenang untuk kategori itu. Saya dapat beratus-ratus mesej di laman sosial yang mengucapkan tahniah kerana menjadi pilihan rakyat Malaysia. "Ingat lagi saya ketika menjayakan siri jelajah ABPBH 2014 di Johor Bahru, saya sendiri berharap peminat dan pengundi akan memilih calon lain. 

Maksud saya ketika itu, sudah tiba masanya untuk kita melihat muka baharu bergerak ke hadapan. Tetapi perbandingan yang dilakukan mereka tetap memilih saya. Terima kasih kerana memilih saya. "Saya tak ada kelab peminat kerana yakin artis yang mempunyai kelab peminat yang kuat lagi berpengaruh untuk memenangi sesebuah kategori dipertandingkan. 

Malah saya tak ada produk yang menjadi wakilan jenama tertentu," katanya. Aznil juga mengakui cukup ralat kerana saat kejayaan diumumkan malam itu di Arena Of Stars, Genting Highlands, dia tidak berada di situ untuk menerima trofi. Aznil pada hari sama terikat dengan komitmen bersama program Ceria Popstar musim ketiga di Janda Baik, Pahang. "Sepatutnya bengkel itu tamat jam 11 tapi berlarutan hingga ke petang. 

Malah sehari sebelum acara kemuncak itu, kita turut dikejutkan dengan berita helikopter terhempas di Semenyih membabitkan VIP tanah air, jadi saya berasakan baju yang akan dipakai di ABPBH terlalu gemerlapan dan tak sesuai dengan apa yang berlaku. "Ingatkan dapatlah pulang ke Kuala Lumpur untuk menukar baju yang lebih sesuai tetapi kekangan masa membuatkan semua yang dirancang tak berakhir seperti yang diharap. 

Dalam reda, saya ralat juga tidak dapat hadir memenuhi permintaan Berita Harian," katanya. Aznil juga ditanya mengenai kebenaran yang beliau sudah disenarai hitam sebuah stesen TV tanah air, namun dia tidak mahu terlalu memikirkan perkara berkenaan andai benar persoalan yang diajukan itu wujud saat ini. "Sebenarnya saya muncul juga di RTM dan TV3 sekalipun menjadi wajah eksklusif Astro. 

Mengenai soalan disenarai hitam itu saya percaya setiap pertubuhan atau individu mempunyai arahan berbeza dan boleh bertukar-tukar. Mungkin hari ini disenarai hitam dan keesokannya tidak serta boleh diangkat semula. "Sesiapa yang mengeluarkan arahan senarai hitam itu andai benar didakwa mungkin tak akan selamanya berada di situ. Hidup ini umpama roda. Saya tak runsing. Ini semua kerja dan rezeki daripada Tuhan. 

Saya tak ada rasa sakit hati, dengki atau berdendam. Astro sendiri tak kisah mengundang bintang kelahiran program TV lain. "Saya sendiri boleh muncul di stesen TV lain dengan syarat ada permohonan secara bertulis atau emel. Kemudian permohonan itu akan dihantar kepada pengurusan Astro. 

Kebiasaannya permohonan itu akan diluluskan Astro. Cuma barangkali ada stesen TV yang anggap saya terlalu dominan di Astro hingga nama saya perlu digugurkan untuk muncul di mana -mana stesen TV lain," katanya.

0 Comments
Disqus
Fb Comments
Comments :

0 Komen:

Catat Ulasan

Lazada Malaysia

Blog Serius - Serius Beb!