1 April 2015


Dua syarikat gergasi kereta Jepun, Honda dan Toyota mengumumkan penurun­an harga kereta seiring dengan pelaksananaan cukai barang dan perkhidmatan (GST) esok, antara RM500 hingga RM4,000 mengikut model.

Honda Malaysia mengumumkan pengurangan harga antara RM500 sehingga RM2,500 sebuah bagi model-model pemasangan tempatan (CKD) keluarannya manakala UMW Toyota pula mengisytiharkan penurunan sehingga RM4,000 mengikut model.

Sementara itu, pengeluar kereta nasional Proton turut mengumumkan pengurangan sehingga RM1,475 atau 3.25 peratus ke atas model-model keluarannya.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Honda Malaysia, Yoichiro Ueno berkata, antara model CKD yang mengalami penurunan harga termasuklah Jazz, City, Civic, CR-V, Accord dan HR-V.

“Secara keseluruhannya penjimatan daripada pelaksanaan GST akan diberikan kepada para pelanggan melalui penurunan harga model-model CKD.

“Namun begitu, berdasarkan kepada pengiraan GST import, harga bagi model Odyssey yang merupakan model import sepenuhnya (CBU) dijangka mengalami sedikit kenaikan di antara RM500 hingga RM1,000,” katanya pada majlis meraikan media di sini semalam.

Selain itu Ueno berkata, harga alat ganti juga akan dikurangkan dengan purata sebanyak 3.7 peratus bagi semua model.

“Bagaimanapun GST akan ditambah ke dalam kos buruh, tetapi memandangkan harga alat ganti telah dikurangkan, kami menganggarkan kos keseluruhan penyelenggaraan akan turun sebanyak dua hingga empat peratus bergantung kepada model,” jelasnya.

Sementara itu, Presiden UWM To­yota Motor, Datuk Ismet Suki berkata, pihak syarikat akan menyalurkan 100 peratus kos penjimatan GST kepada pelanggan semasa pembelian mana-mana model Toyota dan Lexus.

“Pembeli kereta di seluruh negara telah membuat spekulasi bagaimana pelaksa­naan GST akan menjejaskan harga jualan kereta dan kami di Toyota menafikan salah tanggapan ini, dan akan terus menawarkan penjimatan kepada para pelanggan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Tambahnya, di bawah rejim GST, terdapat implikasi berbeza kepada perniagaan dalam pelbagai bidang daripada pengiraan cukai, pemungutan, pemulangan, penyatuan kepada penyediaan kos, berbanding kepada sistem sedia Cukai Jualan dan Perkhidmatan.

Ismet berkata, sebagai tanda sokongan UMW Toyota Motor terhadap pelaksanaan GST, syarikat akan telus dalam transaksi perniagaannya dan akan mematuhi sepenuhnya Akta Kawalan Harga dan Anti-Pencatutan 2014.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Datuk Abdul Harith Abdullah berkata, harga baru di atas jalan raya tersebut meliputi model Saga, Persona, Inspira, Satria Neo, Exora, Preve, Suprima S dan Iriz.

“Pelanggan kini bukan sahaja berpeluang membeli kenderaan yang memberi lebih nilai bagi wang bahkan memiliki sebuah kenderaan yang telah ditambah baik dari segi kualiti dan ciri-ciri keselamatan.

“Sebagai contoh pengguna kini mampu memiliki Proton Saga de­ngan harga serendah RM33,242.40 atau Preve 1.6L Turbo pada harga RM61,023.46 termasuk cukai GST enam peratus,” jelasnya.

0 Comments
Disqus
Fb Comments
Comments :

0 Komen:

Catat Ulasan

Lazada Malaysia

Blog Serius - Serius Beb!