20 April 2015


Sebarang penganjuran program berbentuk hiburan selepas ini tidak dibenarkan mengandungi unsur percampuran antara lelaki dan perempuan dalam kalangan penonton serta tidak membawa kepada pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan semasa latihan atau raptai.

Perkara tersebut terkandung dalam garis panduan hiburan dalam Islam edisi kedua yang dikeluarkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menerusi laman web rasminya.

Garis panduan baharu itu lebih terperinci berbanding garis panduan terdahulu malah memberi penekanan khusus berhubung panduan penampilan artis dan penganjuran sesebuah program hiburan.

Dalam garis panduan tersebut, Jakim turut menyatakan penganjur juga perlu memastikan program yang diadakan tidak mempunyai unsur ritual, tanda atau simbol yang bertentangan dengan ajaran Islam dan perbuatan yang diharamkan dalam Islam atau perkara yang boleh mendorong kepada keadaan-keadaan tersebut.

Katanya, program tersebut juga tidak boleh membawa kepada kekacauan atau gangguan terhadap ketenteraman awam dan bersifat provokasi yang boleh menimbulkan sikap prejudis atau permusuhan.

“Beberapa rujukan berhubung penampilan seseorang artis juga digariskan antaranya pemakaian artis haruslah sopan dan sentiasa dikekalkan walaupun berada di luar persembahan dan artis perlu berpakaian menutup aurat, kemas dan sopan serta tidak memakai pakaian yang boleh mendedahkan diri kepada eksploitasi penonton dan tidak bercanggah dengan kehendak Islam.

“Malah, adab berpakaian, tatarias dan dandanan rambut artis haruslah tidak menyerupai jantina yang berlainan serta hiasan dan dandanan hendaklah pada kadar yang bersesuaian dan sederhana sesuai dengan masyarakat,” kata Jakim.

Garis panduan tersebut diperaku oleh Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan Kali ke-107 yang berlangsung pada Februari lalu.

Dalam pada itu, program hiburan juga tidak mengandungi sebarang ucapan, gerak laku dan sebagainya yang tidak mengandungi simbol yang dapat ditafsirkan secara tersurat atau tersirat yang bertentangan dengan akidah, syariah dan nilai-nilai Islam.

Malah, program tersebut tidak boleh mengandungi sebarang unsur yang menyentuh sensitiviti mana-mana agama, budaya dan bangsa dan perlu diadakan dalam keadaan yang bersesuaian untuk mengelakkan rasa tidak disenangi oleh orang yang mendengar dan menonton.

Garis panduan itu turut menggariskan plot penceritaan yang bukan realiti dan berasaskan khayalan adalah dibenarkan untuk me­nyampaikan sesuatu mesej yang baik namun lawak jenaka hendaklah berpada-pada dan tidak melampaui batas sehingga membawa kepada ketawa yang melampau.

“Lawak jenaka tidak boleh dilakukan terhadap perkara yang serius dan yang perlu ditangisi dan tidak mengandungi unsur pendustaan pada sesuatu fakta, kata-kata kesat, lucah atau fitnah serta tidak mengandungi unsur yang menimbulkan penghinaan terhadap mana-mana individu atau organisasi.

“Sesebuah program seni pentas juga tidak mengandungi unsur keganasan, tidak menimbulkan trauma atau gangguan emosi serta tidak melakonkan watak menyerupai jantina yang berlainan,” katanya.

0 Comments
Disqus
Fb Comments
Comments :

0 Komen:

Catat Ulasan

Lazada Malaysia

Blog Serius - Serius Beb!