30 April 2015


Pengundi di daerah ini diingatkan supaya tidak membuat andaian bahawa Barisan Nasional (BN) pasti menang sehingga mengambil sikap mudah untuk tidak turun mengundi dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Rompin pada 5 Mei ini.

Timbalan Pengerusi BN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kerjasama pengundi dipohon untuk keluar beramai-ramai menunaikan tanggungjawab mereka bagi menentukan wakil rakyat di sini dipilih untuk meneruskan usaha dilaksanakan Allahyarham Tan Sri Dr. Jamaludin Jarjis.

Beliau berkata, ia merupakan satu kewajipan kepada lebih 53,000 pengundi di Parlimen untuk melaksanakan tanggungjawab tersebut.

“Saya mendapat maklumat bahawa di Rompin ramai pengundi mengatakan BN mesti menang, Alhamdulillah.

“Tetapi saya bimbang kalau semua kata BN menang, jadi tidak payah keluar mengundi. Apa yang penting kita menunjukkan bahawa Rompin adalah kubu BN.

“Kalau kata kubu, bermakna sokongan itu padu. Jika Allahyarham Jamaludin dapat majoriti lebih 15,000 undi pada pilihan raya umum lalu, saya harap kali ini wakil kita tidak kurang daripada jumlah itu,’’ katanya ketika berucap dalam majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Dataran Rompin di sini hari ini.

Yang hadir sama, Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil; Pengerusi BN negeri, Datuk Seri Adnan Yaakob; Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Ne­geri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ahmad Bashah Md. Hanipah; calon BN, Datuk Hasan Arifin dan kepemimpinan parti komponen BN negeri serta Pusat.

Sementara itu, dalam sidang akhbar selepas majlis Perasmian Yayasan Kebajikan Negara (YKN) Dialisis Rompin di Pantai Hiburan di sini, Muhyiddin optimis BN mampu mempertahankan majoriti 15,000 undi yang dimenangi sebelum ini.

Bagaimanapun, beliau berkata, perkara tersebut memerlukan usaha sebaik mungkin daripada seluruh jentera pilihan raya parti.

“Saya harap kita dapat mempertahankan majoriti 15,000 undi yang dimenangi pada pilihan raya lalu, walaupun sedar itu mencabar, namun dalam mana-mana pilihan raya kita masih optimis dan akan usahakan sebaik mungkin,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, gerakan jentera BN dalam PRK Parlimen Rompin memasuki fasa kedua yang lebih kritikal bagi memastikan pengundi di 38 pusat daerah mengundi (PDM) dilawati dan digerakkan dengan lebih agresif.

“Ini penting untuk kita sampaikan apa sahaja maklumat yang perlu supaya pengundi akan lebih mengetahui hala tujunya dan membuat keputusan tepat,’’ katanya.

0 Comments
Disqus
Fb Comments
Comments :

0 Komen:

Catat Ulasan

Lazada Malaysia

Blog Serius - Serius Beb!