15 April 2015


KENYATAAN yang dibuat Puan Sri Halijah Abdullah, 56, kepada Utusan Malaysia awal tahun ini didakwa mengelirukan ramai pihak. Halijah menafikan dakwaan bahawa suaminya, Tan Sri Jins Shamsudin, 80, mempunyai empat anak melalui tiga perkahwinan.

Tegas Halijah, tokoh perfileman negara itu hanya dikurniakan tiga anak lelaki sahaja iaitu, seorang hasil perkahwinan pertama dengan pelakon Allahyarham Rahmah Rahmat dan dua orang lagi daripada perkahwinan Jins dengannya.

Berikutan itu, seorang lelaki bernama Hang Tuah atau Shazrin, 41, tiba-tiba mengaku bahawa dirinya adalah anak kedua kepada Jins, sekali gus menangkis penafian yang dibuat Halijah.

Hadir tenang dalam satu sidang akhbar yang diadakan di PNB Darby Park, Kuala Lumpur, Jumaat lalu, Hang Tuah tampil bersama dua peguamnya iaitu, Saiful Adli Mohd Arshad dari Tetuan Saiful Arshad & Co dan Abdul Malik Mokhtar dari Tetuan Abdul Malik Zamri & Co.

HITS: Boleh jelaskan tujuan sidang akhbar pada hari ini?

HANG TUAH: Hari ini saya mahu memberi respons langsung kepada kenyataan oleh Puan Sri Halijah yang mengatakan Tan Sri Jins hanya mempunyai tiga orang anak seperti yang disiarkan oleh Utusan Malaysia bertarikh 6 Februari 2015.

Saya ingin memperbetulkan fakta dan menjelaskan kepada umum bahawa kenyataan Puan Sri Halijah adalah tidak tepat. Ini adalah tanggungjawab saya untuk memastikan fakta sebenar diketahui memandangkan ayah (Tan Sri Jins) kurang sihat dan tidak berupaya untuk memberitahu segalanya.
Maksudnya Hang Tuah juga anak Tan Sri Jins?

Ya, saya juga anak Tan Sri Jins yang sah. Saya adalah anak kedua ayah dengan ibu saya, Jamilah Sukor. Ayah dan ibu berkahwin pada tahun 1973 di luar negara sebelum bercerai empat tahun kemudian.

Apa yang boleh membuktikan kesahihan perkara itu?

Dalam buku Suria Kencana biografi Jins Shamsudin, tulisan Mohd. Zamberi A. Malek pada tahun 1998, ada tertulis mengenai perkahwinan kedua Tan Sri Jins dengan Jamilah Sukor. Buku yang diterbitkan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu juga menyatakan bahawa mereka mempunyai seorang anak bernama Hang Tuah @ Shazrin iaitu saya.

Apabila Puan Sri Halijah mengeluarkan kenyataan dengan merujuk kepada artikel berjudul Jins Shamsudin hanya ada tiga anak, dia telah menafikan fakta sebenar dan menyangkal kewujudan saya sebagai anak Tan Sri Jins. Perkara ini, bagi saya telah menyangkal hak dan nama baik ibu saya, Jamilah.

Saya juga agak terkilan setelah 30 tahun mengenali beliau. Saya tidak pasti sama ada Puan Sri Halijah tahu saya anak kepada suaminya atau tidak. Cuma saya minta, dia menerima kenyataan bahawa saya adalah anak kedua Tan Sri Jins.

Selain itu, ada bukti lain?

Mengenai status diri saya, memang terbukti bahawa saya adalah anak Tan Sri Jins yang sah di sisi undang-undang. Saya membuktikannya dengan sijil lahir yang saya miliki (No Daftar: C643127).
Dengan penjelasan ini, saya berharap isu yang ditimbulkan akan selesai dan saya tidak berniat untuk memanjangkan isu ini.

Pernah berjumpa dengan ayah (Tan Sri Jins)?

Kali terakhir saya berjumpa ayah adalah pada tahun 2011. Sejak itu, kami tidak lagi bertemu. Sebab apa saya tidak berjumpa ayah, biarlah saya simpan kerana tidak mahu aibkan sesiapa.

Saya juga mengaku kurang rapat dengan ayah dan tidak mahu ibu tiri menggunakan alasan itu sehingga tidak mengiktiraf saya sebagai anak ayah.

Saya dibesarkan oleh kakak kandung ayah, Hazizon Shamsudin, 82, di Taiping, Perak. Walaupun ayah tidak menjaga, saya tetap anaknya dan dia (ayah) menjalankan tanggungjawab dengan sempurna.

Harapan Hang Tuah?

Tiada yang lain saya minta, sudah semestinya mahukan ibu tiri memperbetulkan kenyataan yang dibuatnya. Bagi saya, perkara itu telah mencalarkan imej saya sendiri.

0 Comments
Disqus
Fb Comments
Comments :

0 Komen:

Catat Ulasan

Lazada Malaysia

Blog Serius - Serius Beb!