3 April 2015


Semua syarikat telekomunikasi (telko) akan mengenakan cukai barang dan perkhidmatan (GST) sebanyak enam peratus pada kad tambah nilai prabayar telefon bimbit tetapi bersetuju menambah masa berbual dan khidmat pesanan ringkas (SMS) pada kadar melebihi enam peratus.

Pengarah GST Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Datuk T. Subromaniam berkata, keputusan itu dicapai hasil perbincangan pihaknya dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Kementerian Kewangan dan syarikat telko pagi ini.

Beliau berkata, keputusan itu berkuat kuasa serta-merta untuk tempoh tiga bulan bermula hari ini dan selepas tamat tempoh tersebut semua pihak yang terlibat akan mencari satu jalan penyelesaian lain.

“Syarikat telekomunikasi bersetuju sebagai contohnya untuk menjual kad tambah nilai prabayar pada harga RM10.60 dengan pengguna diberi masa berbual tambahan dan khidmat pesanan ringkas melebihi RM1.

“Keputusan yang dicapai itu adalah baik dan menguntungkan pelanggan kerana mereka dapat berbual lebih lama dengan nilai tersebut,” katanya dalam sidang akhbar taklimat GST di sini hari ini.

Kad tambah nilai prabayar telefon bimbit menjadi isu hangat diperkatakan pengguna sejak semalam apabila dikenakan caj GST oleh segelintir peniaga sedangkan kad tersebut telah dikenakan cukai perkhidmatan dan perbezaannya hanya pada nama cukai.

Walau bagaimanapun JKDM semalam menyatakan, sekiranya syarikat komunikasi berkenaan mempunyai alasan kukuh seperti menambah masa berbual, bermakna mereka tidak tertakluk kepada arahan terbabit.

Pelaksanaan GST yang bermula semalam bertujuan menggantikan cukai jualan 10 peratus dan cukai perkhidmatan enam peratus.

GST dipercayai berupaya meningkatkan pendapatan kerajaan dan mengurangkan defisit fiskal serta membolehkan lebih banyak projek pembangunan kemudahan untuk rakyat yang tertangguh sebelum ini dilaksanakan.

Dalam pada itu, Subromaniam berkata, keputusan yang dicapai empat pihak itu akan diperhalusi oleh JKDM dalam tempoh tiga bulan sebelum satu keputusan muktamad diambil sama ada untuk meneruskannya atau sebaliknya.

Menurutnya, Ketua Pengarah JKDM, Datuk Seri Khazali Ahmad akan mengadakan perbincangan dengan semua syarikat telekomunikasi bagi melihat semula pelaksanaan dan mencari jalan penyelesaian terbaik berhubung isu kad tambah nilai prabayar itu.

Sementara itu, Subromaniam berkata, jumlah aduan yang dikemukakan pengguna kepada pihaknya menurun hampir 80 peratus iaitu hanya 202 aduan hari ini berbanding 800 aduan semalam.
Katanya, kebanyakan aduan tersebut adalah berkaitan dengan isu kad tambah nilai prabayar te­lefon bimbit.

0 Comments
Disqus
Fb Comments
Comments :

0 Komen:

Catat Ulasan

Lazada Malaysia

Blog Serius - Serius Beb!