10 April 2015


Mayat mangsa nahas helikopter terhempas di Semenyih warga Kyrgyzstan, Aidana Baizieva telah dituntut oleh keluarganya dan wakil kedutaan Kyrgyzstan di Hospital Kuala Lumpur petang tadi. 

Ketua Polis Selangor, Datuk Abdul Samah Mat, berkata mayat Aidana dituntut oleh kakak tirinya, Luisa Baizieva bersama seorang wakil kedutaan itu pada pukul 5.30 petang. "Mayat mangsa yang diuruskan oleh sebuah syarikat pengurusan mayat tempatan, kini berada di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) untuk diterbangkan ke kampung halamannya dengan penerbangan Air Astana, dijangka pada 10.55 pagi esok," katanya ketika dihubungi di sini hari ini. 

Beliau berkata, pihaknya berpuas hati dengan hasil ujian DNA mangsa dan kakak tirinya, dan kini isu mayat semua enam mangsa nahas helikopter Dauphin AS365N2 (9M-1GB) yang terhempas di kawasan kebun getah di Kampung Sungai Pening, Semenyih pada petang Sabtu telah selesai. 

Katanya, pihaknya bersama Jabatan Penerbangan Awam (DCA) kini sedang menjalankan siasatan punca nahas itu. Selain Aidana, mereka yang maut dalam nahas itu ialah Ahli Parlimen Rompin dan Pengerusi Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA), Tan Sri Dr Jamaluddin Jarjis; Ketua Setiausaha Sulit kepada Perdana Menteri, Datuk Azlin Alias; ahli perniagaan, Datuk Tan Huat Seang; pengawal peribadi Jamaluddin, Koperal Razkan B Seran; dan juruterbang, Kapten Clifford Fournier. 

Semua mereka dalam perjalanan pulang dari Pekan, Pahang ke Kuala Lumpur selepas menghadiri majlis perkahwinan anak perempuan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Datin Seri Rosmah Mansor, Nooryana Najwa dan Daniyar Kessikbayev.

S
0 Comments
Disqus
Fb Comments
Comments :

0 Komen:

Catat Ulasan

Lazada Malaysia

Blog Serius - Serius Beb!