17 April 2015


Sibu: Gangguan seekor monyet di sub stesen elektrik Deshon, di sini, menyebabkan beberapa kawasan di bahagian itu mengalami gangguan bekalan elektrik selama dua jam, kelmarin.

Difahamkan, bekalan elektrik terputus bermula jam 8 pagi dan menjejaskan bandar Sibu, Sungai Merah, Rantau Panjang, Ensurai, Pahlawan, Kampung Dato, Bandong dan kawasan sekitarnya.

Jurucakap Sarawak Energy berkata, monyet itu dipercayai sesat sebelum menceroboh sub stesen elektrik itu dan terperangkap pada kabel elektrik berkuasa 33 kilowatt voltan.

Beliau berkata, kejadian itu menyebabkan beberapa peralatan di sub stesen itu rosak, sekali gus mengakibatkan gangguan elektrik berlaku di beberapa kawasan di bandar ini.

“Sebaik menyedari berlaku pintasan elektrik itu, juruteknik Sarawak Energy bergegas ke sub stesen itu untuk membuat pemeriksaan dan mendapati seekor monyet tersangkut pada kabel.

“Juruteknik Sarawak Energy segera menyelamatkan monyet yang cedera berkenaan dan membaiki kerosakan serta memulihkan bekalan di kawasan terjejas dalam tempoh dua jam,” katanya.

Katanya, monyet yang cedera dihantar ke klinik haiwan berhampiran untuk menerima rawatan.

“Sarawak Energy juga kesal dengan kesukaran yang dihadapi pengguna berikutan bekalan elektrik yang terputus,” katanya.

0 Comments
Disqus
Fb Comments
Comments :

0 Komen:

Catat Ulasan

Lazada Malaysia

Blog Serius - Serius Beb!