28 April 2015


Pemimpin PKR diyakini mengetahui bahawa bekas Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang kini sedang menjalani hukuman penjara tidak layak mengundi di PRK Permatang Pauh, bulan depan.

Pensyarah Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Madya Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff berkata, Perkara 119 (3) (a) menyentuh soal kelayakan pemilih dalam Perlembagaan Persekutuan jelas menyatakan bahawa seseorang hilang kelayakan untuk menjadi pemilih jika sedang menjalani hukuman pemenjaraan.

“Layakkah Datuk Seri Anwar menjadi pengundi PRK Permatang Pauh? Apabila PKR meminta Anwar diberi izin untuk mengundi, saya rasa pelik.

“Ini kerana peruntukan Perkara 119(3)(a) menyatakan seseorang yang gila atau sedang menjalani hukuman penjara; atau dihukum dengan hukuman mati atau penjara melebihi 12 bulan, maka hilang kelayakan untuk mengundi pada hari pengundian,” katanya dalam kenyataan di laman sosial Facebooknya, semalam.

Sebelum ini, Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar meminta Kementerian Dalam Negeri (KDN) membenarkan Anwar keluar dan balik mengundi untuk PRK Permatang Pauh pada 7 Mei ini.

Menurut Izzah, Akta Penjara 1965 memperuntukkan kuasa untuk membenarkan mana-mana penghuni penjara untuk hadir majlis pengebumian tertakluk bawah kuasa pengarah penjara dan KDN.

“Sejajar dengan penyataan dan syor Suhakam adalah berdasarkan prinsip hak asasi manusia seperti yang termaktub dalam Artikel 21 Pengisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat yang menyatakan hak seseorang untuk memilih perwakilan dan mengambil bahagian dalam pemerintahan negara.

“Di Malaysia, hak warganegara untuk mengundi ahli dewan rakyat atau Adun dalam sebarang pilihan raya adalah dijamin dalam Artikel 119 Perlembagaan Persekutuan,” beliau dipetik sebagai berkata.

Mengulas lanjut perkara itu, Agus berkata, jika Anwar mahu diberikan hak mengundi, pemimpin PKR juga tahu bahawa Perlembagaan perlu dipinda.

“Saya yakin pemimpin PKR tahu peruntukan ini. Saya juga yakin pemimpin PKR tahu jika Anwar mahu diberikan hak mengundi itu, maka Perlembagaan Persekutuan perlu dipinda terlebih dahulu.

“Jika tahu, untuk apa diminta Datuk Seri (Anwar) menjadi pengundi dalam PRK ini? Cukuplah mensensasikan fakta yang tidak tepat dan hal yang tidak perlu. Banyak lagi isu-isu yang boleh disyarahkan dalam PRK ini. Kempenlah dengan bergaya dan bijaksana,” katanya.

Semalam, Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata, Anwar hilang kelayakan untuk mengundi pada PRK Permatang pauh berdasarkan Perkara 119 (3) Perlembagaan Persekutuan.

Perkara 119 (3) Perlembagaan Persekutuan menjelaskan seseorang itu akan hilang kelayakan untuk mengundi sekiranya:

1) Pada tarikh kelayakan ditahan sebagai orang yang tidak sempurna akal atau sedang menjalani hukuman pemenjaraan; atau

2) Sebelum tarikh kelayakan dia telah disabitkan atas suatu kesalahan di dalam mana-mana bahagian Komanwel dan dijatuhkan hukuman mati atau pemenjaraan selama tempoh melebihi dua belas bulan dan pada tarikh kelayakan itu dia masih kena menjalani apa-apa hukuman bagi kesalahan itu.
0 Comments
Disqus
Fb Comments
Comments :

0 Komen:

Catat Ulasan

Lazada Malaysia

Blog Serius - Serius Beb!