16 April 2015


Pahang mengalami kekalahan kedua dalam saingan Kumpulan G, Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) selepas kecundang 3-1 kepada wakil Hong Kong, South China di Stadium Mongkok, Hong Kong, malam tadi. 

Kemenangan keempat diraih oleh South China membolehkan mereka mengukuhkan kedudukan selaku pendahulu kumpulan dengan kutipan 12 mata selepas empat perlawanan manakala Pahang kekal di tangga kedua dengan empat mata. Pada aksi yang disiarkan secara langsung oleh sebuah televisyen berbayar itu, 

Chan Siu Kwan meletakkan South China di hadapan menerusi gol seawal minit ke-10 selepas mengambil kesempatan keadaan kelam kabut di depan pintu gol Pahang dan keputusan tersebut kekal sehingga berakhirnya babak pertama perlawanan. 

Bersambung separuh masa kedua, South China terus melancarkan serangan bertali arus ke kubu Pahang dan hasilnya, Lo Kong Wai menggandakan jaringan untuk pasukan tuan rumah pada minit ke-56 menerusi serangan pantas ke kubu Pahang. 

Selang tiga minit kemudian, pemain naturalisasi Hong Kong, Jonathan Jack Sealy menambah derita pasukan Pahang dengan gol ketiga selepas memperdayakan pertahanan sebelum melepaskan rembatan untuk menewaskan penjaga gol, Mohd Khairul Azhan Mohd Khalid. 

Penyerang import dari Nigeria, Dickson Nwakaeme bagaimanapun mengurangkan defisit jaringan untuk Pahang pada minit ke-62 selepas menyempurnakan hantaran daripada Matias Conti. 

Dalam satu lagi aksi Kumpulan G, kelab dari Filipina, Global FC meraih kemenangan sulung selepas empat perlawanan selepas menang 4-1 ke atas wakil Myanmar, Yadanarbon FC di Stadium Philippine Sports, Manila. 

Pahang akan melayan kunjungan Yadanarbon FC pada aksi keempat kumpulan di Stadium Darul Makmur, Kuantan manakala South China menentang Global FC di Stadium Mongkok. Kedua-dua perlawanan berlangsung pada 29 April ini.

0 Comments
Disqus
Fb Comments
Comments :

0 Komen:

Catat Ulasan

Lazada Malaysia

Blog Serius - Serius Beb!