16 April 2015


Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan mengambil tindakan menyenaraihitam mana-mana pelajar dan kedai buku yang didapati menyalahgunakan Baucar Buku 1Malaysia (BB1M).

Memetik laporan Bernama, Datuk Mary Yap Kain Ching selaku Timbalan Menteri Pendidikan berkata, pihaknya telah mengagihkan garis panduan penggunaan dan penerimaan BB1M kepada semua kedai buku dan institut pengajian tinggi (IPT) di seluruh negara.

"KPM turut melaksanakan proses pemantauan ke atas kedai buku dan semua universiti yang mengagihkan BB1M kepada pelajarnya berdasarkan pengurusan rekod,” ujarnya.

Menurut beliau, KPM turut memberi peringatan kepada para pelajar yang menerima BB1M bahawa baucar itu dihadkan untuk pembelian buku sahaja dan tidak sesekali menukarkannya kepada bentuk tunai.

Kenyataan itu dikeluarkan bagi menjawab pertanyaan Senator Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dasuki dalam sesi soal jawab pada persidangan Dewan Negara di Parlimen hari ini.

Dr. Asyraf bertanya mengenai proses pemantauan yang dibuat dalam memastikan bantuan BB1M berjumlah RM250 setiap pelajar dimanfaatkan dan tidak disalahgunakan oleh pelajar IPT.

Kain Ching menjelaskan pemberian BB1M kepada semua pelajar adalah bagi meringankan beban perbelanjaan pembelian buku serta memupuk minat membaca dalam kalangan mereka.

"Oleh itu, kami memerlukan kerjasama daripada semua pihak, termasuk orang awam dan pemimpin masyarakat supaya membuat aduan kepada kami sekiranya mendapati penyalahgunaan BB1M dalam kalangan pelajar," katanya.

0 Comments
Disqus
Fb Comments
Comments :

0 Komen:

Catat Ulasan

Lazada Malaysia

Blog Serius - Serius Beb!