22 April 2015


RANKING skuad Harimau Malaya jatuh ranking ke-164 dan ‘pemecahan’ skuad bawah 23 tahun (B-23) menjadi dua pasukan sudah mula menjadi persoalan pemerhati sukan bola sepak tempatan kepada Pengarah Teknikal Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Fritz Schmid.

Lebih mustahak, percaturan Schmid yang bakal genap setahun bertugas sebagai pengarah teknikal pada 30 April ini selepas dilantik oleh Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd. Amin pada tahun lalu, seolah-olah tidak memberikan impak positif dalam bola sepak tempatan.

Perkara itu diakui oleh seorang sumber rapat kepada FAM yang mendedahkan, Schmid sepatutnya bertanggungjawab memantau persembahan kesemua jurulatih termasuk jurulatih kebangsaan, Harimau Muda A, B dan C selain akan melihat prestasi para pemain serta pembangunan bola sepak remaja selaku pengarah teknikal.

Jelas sumber itu, bagaimanapun Schmid dikatakan tidak memiliki hubungan baik dengan jurulatih Harimau Malaya, Dollah Salleh serta ketua jurulatih skuad B-23, Datuk Ong Kim Swee yang mana beliau lebih berminat fokus kepada agenda peribadi.

“Sudah hampir setahun beliau (Schmid) berada di sini. Apakah hala tuju skuad Harimau Malaya dan Harimau Muda.

“Apakah percaturan beliau untuk menjadikan bola sepak negara lebih berdaya saing dan maju? Persoalan mula timbul sebaik menyaksikan kejatuhan ranking negara dan skuad muda dipecahkan kepada dua pasukan.

“Lebih mustahak, kenapa skuad B-19 (Harimau Muda C) bermain di Liga Divisyen Kedua Slovakia dan Liga FAM dalam tempoh singkat? Tidakah ia memberikan kesan kepada pemain-pemain muda?

“Sepatutnya, beliau yang memegang kapasiti sebagai pengarah teknikal boleh menasihati Presiden FAM (Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah) dan berbincang dengan Dollah serta Kim Swee untuk memajukan bola sepak negara.

“Namun, pemerhati bola sepak seperti sudah dapat mengagak dan kesal kerana jawatan pengarah teknikal seperti tiada fungsi selepas menyaksikan prestasi skuad kebangsaan dan skuad muda negara merosot,” katanya kepada Kosmo!, semalam.

Sebelum dilantik sebagai Pe­ngarah Teknikal FAM, Schmid, 54, pernah berkhidmat sebagai penolong jurulatih Tottenham Hotspur, FC Basel 1893 dan FC Aarau selain pernah menjadi pengurus untuk beberapa pasukan termasuk SC Kriens, Team Aargau U21, Grasshopper Club Zurich II dan Racing Club Zurich.

Terdahulu, beberapa laporan di akhbar tempatan pernah mendakwa Schmid tidak turun padang dan Tengku Abdullah pernah menyatakan FAM tidak akan teragak-agak untuk memecatnya jika gagal membantu memulihkan prestasi skuad negara pada Februari lalu.

Dalam perkembangan sama, sumber itu berharap FAM akan meneliti percaturan skuad bola sepak negara dan tidak terlalu ‘lepas tangan’ kepada pengarah teknikal dari Switzerland itu selepas dilihat masih gagal memberikan impak terbaik kepada Malaysia.

“Saya berharap beliau akan fokus dengan tugasan utama­nya yang mana FAM telah memberikan perjanjian tiga tahun sebagai pengarah teknikal. Jangan kerana nila setitik, susu rosak sebelanga,” katanya.


0 Comments
Disqus
Fb Comments
Comments :

0 Komen:

Catat Ulasan

Lazada Malaysia

Blog Serius - Serius Beb!