9 April 2015


Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Mohd. Yusof menyifatkan Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Permatang Pauh sebagai ‘luar biasa' kerana beliau buat pertama kalinya menguruskan PRK itu disebabkan sabitan mahkamah.

Beliau berkata, sebelum ini keperluan mengadakan PRK iaitu berdasarkan peruntukan Artikel 54 (1) Perlembagaan Persekutuan adalah berpunca daripada berlakunya kematian atau peletakan jawatan.

Sehubungan itu kata beliau, sebaik sahaja menerima makluman rasmi daripada Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia pada 1 April lalu ekoran penyandangnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim hilang kelayakan sebagai Ahli Parlimen, pihaknya mengadakan satu mesyuarat khas mengenainya hari ini.

“Justeru, hasil mesyuarat hari ini SPR menetapkan tarikh penamaan calon bagi PRK Parlimen Permatang Pauh (P.044) adalah pada 25 April ini manakala hari pengundian pula pada 7 Mei.

“Mesyuarat turut menetapkan tarikh pengundian awal PRK Parlimen Permatang Pauh pada 3 Mei, tarikh tutup permohonan Undi Pos (luar negara) pada 25 April dan tarikh tutup permohonan Undi Pos (dalam negara) pada 27 April,” katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat khas berhubung PRK Parlimen Permatang Pauh di sini hari ini.

Anwar, 68, hilang kelayakan sebagai Ahli Parlimen Permatang Pauh setelah Lembaga Pengampunan menolak petisyen pengampunan beliau pada 16 Mac lalu bersabit hukuman penjara yang dikekalkan oleh Mahkamah Persekutuan.

Pada 10 Februari lalu, Mahkamah Persekutuan mengekalkan hukuman penjara lima tahun terhadap Anwar selepas didapati bersalah atas tuduhan meliwat bekas pembantu peribadinya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan.

Dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) lalu, Anwar yang mewakili Parti Keadilan Rakyat ( PKR) berjaya menewaskan calon Barisan Nasional (BN) Dr. Mazlan Ismail dan calon Bebas, Dr. Abdullah Zawawi Samsudin dengan majoriti undi sebanyak 11,721 undi.

Anwar mendapat 37,090 undi manakala Mazlan dan Dr. Abdullah masing-masing memperoleh 25,369 dan 201 undi.

Abdul Aziz berkata, kos mengendalikan PRK tersebut dianggarkan sebanyak RM1.97 juta di samping melibatkan 1,110 petugas yang dilantik selain menyaksikan tempoh berkempen selama 12 hari.

Dalam pada itu, beliau berkata, PRK Parlimen Permatang Pauh akan menggunakan daftar pemilih induk (DPI) 2013 yang digabungkan dengan daftar pemilih tambahan suku ketiga 2014 yang dikemas kini sehingga 1 April lalu.

“Sebanyak 71,890 pemilih berdaftar layak mengundi di PRK Parlimen Permatang Pauh yang terdiri daripada 71,252 pemilih biasa, 627 pemilih awal dan 11 orang pengundi tidak hadir luar negara. Daftar pemilih itu akan mula dijual pada 18 April ini,” ujarnya.

Katanya, untuk tujuan menjalankan pilihan raya tersebut, SPR akan menggunakan Dewan Perdana, Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN), Bukit Mertajam sebagai pusat penamaan calon dan pusat penjumlahan rasmi undi.

“Sebanyak 26 pusat mengundi akan dibuka bagi tujuan pengundian yang mengandungi 132 saluran tempat mengundi,” katanya.

Selain itu, beliau turut mengumumkan pelantikan Pegawai Daerah, Pejabat Daerah dan Tanah Seberang Perai Tengah, Jusni Ismail sebagai Pegawai Pengurus Pilihan Raya sambil dibantu oleh enam penolongnya.

Beliau menjangkakan keputusan PRK itu akan diketahui selewat-lewatnya pukul 9 malam.

0 Comments
Disqus
Fb Comments
Comments :

0 Komen:

Catat Ulasan

Lazada Malaysia

Blog Serius - Serius Beb!