7 April 2015


Bahana pengaruh kumpulan militan negara Islam (IS) telah memasuki fasa kedua apabila rakyat negara ini yang menyertai kumpulan terbabit di Asia Barat mula merancang untuk membuat serangan di Malaysia.

Ini berikutan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerusi pasukan Counter Terrorism, Cawangan Khas menahan sekumpulan suspek yang dipercayai mahu membuat sera­ngan sebegitu di sekitar ibu negara.
Seramai 17 orang termasuk seorang remaja berusia 17 tahun di­­tangkap semalam dan lebih mem­bimbangkan kumpulan itu di­dalangi dua lelaki yang pernah menyertai dan menjalani latihan ketenteraan IS di Syria tahun lalu.

Perkara itu disahkan oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar dalam laman Twitter-nya yang memberitahu kejayaan polis menangkap kumpulan tersebut.

“Syabas pasukan Counter Terro­rism @PDRMsia yang berjaya menangkap 17 orang sedang merancang keganasan di Kuala Lumpur. Dua da­ripada mereka baru balik dari Syria. Go PDRM go,” katanya di sini hari ini.

Sementara itu, satu sumber memberitahu Utusan Malaysia, Bahagian Counter Terrorism berjaya mengesan gerak-geri serta ranca­ngan kumpulan terbabit sebelum bertindak segera menangkap suspek untuk mengelak sesuatu yang buruk berlaku di ibu negara.

Kata sumber, kumpulan itu didalangi dua individu yang berasal dari Kedah yang baru balik dari menyertai IS di Syria sejak September tahun lalu.

Katanya, salah seorang daripada mereka merupakan individu berusia 49 tahun yang tidak asing lagi dalam arena keganasan di negara ini dan pernah menyertai Kumpulan Militan Malaysia (KMM) beberapa tahun lalu.

“Suspek ini pernah ditangkap polis pada Jun 2001 kerana terlibat dalam aktiviti keganasan bersama KMM dan dia juga pernah terlibat dalam rancangan rompakan bersenjata api pada tahun sama di negara ini. Selain itu, dia juga ada kaitan dengan kejadian serangan di Guar Chempedak, Kedah.

“Dia pernah menjalani latihan ketenteraan di Afghanistan pada tahun 1989 hingga 1990 dan di Sulawesi pada November 2000. Pada Ogos tahun lalu, dia ke Syria untuk menyertai IS dan pulang secara senyap-senyap pada Disember lalu,” ujar sumber.

Tambah sumber, seorang lagi anggota IS yang ditangkap adalah seorang guru agama yang pernah berjuang Syria.

“Suspek yang berusia 38 tahun ini keluar dari Malaysia untuk menyertai IS pada September lalu dan dia kembali ke negara ini pada Di­sember,” katanya.

Kata sumber, serangan yang me­nyasarkan lokasi tertentu di Malaysia dibimbangi akan terjadi sejak pe­nga­ruh IS terhadap rakyat negara semakin menjadi-jadi sejak setahun lalu.

“Fasa awal kita dapati ramai penduduk negara terpengaruh mahu menyertai IS dan kita percaya fasa berikutnya akan menjadi sesuatu membimbangkan iaitu serangan di negara ini seperti di negara-negara lain yang telah terjadi.

“Usaha polis adalah mahu mengekang perkara itu sebelum kejadian sebegitu terjadi,” kata sumber.
Penangkapan terbaharu itu juga adalah susulan daripada penahanan dua individu yang mengugut mahu membuat serangan terhadap dua kedutaan asing di ibu negara, baru-baru ini.

0 Comments
Disqus
Fb Comments
Comments :

0 Komen:

Catat Ulasan

Lazada Malaysia

Blog Serius - Serius Beb!