10 April 2015


Kekalahan besar 0-6 kepada Oman pada 26 Mac lalu ternyata memberikan kesan besar terhadap kedudukan terbaharu Harimau Malaya dalam ranking dunia apabila jatuh 11 anak tangga daripada kedudukan 153 ke 164, iaitu kedudukan ketiga terburuk dalam sejarah pasukan kebangsaan sejak ranking Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) diperkenalkan pada tahun 1993.

Kedudukan terbaharu Malaysia ini dalam ranking yang dikeluarkan semalam, turut menyaksikan skuad negara berada di bawah Bhutan, yang menjadi anggota FIFA pada 2003 tetapi hanya mula serius dalam bola sepak tahun ini.

Bhutan sebelum ini di ranking terakhir FIFA iaitu 209 tetapi naik 46 anak tangga untuk berada di kedudukan ke-163 dan Timor Leste ke-151.

Ranking paling rendah pernah diduduki pasukan negara sebelum ini ialah ke-170 pada April 2008 dan 166 pada Oktober 2007 serta kembali mengulangi kedudukan 164 yang pernah dicapai pada bulan Mac 2013.

Paling malang, situasi terbaharu ini hadir bukan pada waktu yang bersesuaian kerana ranking mutakhir ini bakal diguna pakai oleh Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) dalam menentukan kedudukan balang antara 40 pasukan yang berjaya memasuki pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2018 dan Piala Asia 2019 dengan majlis undian bakal berlangsung pada 14 April ini.

Berdasarkan kedudukan negara-negara Asia, Malaysia sekadar berada di tangga ke-33 dalam kalangan 40 negara, sekali gus kertas undi Malaysia bakal ditempatkan dalam balang lima bersama pasukan-pasukan lemah lain seperti Hong Kong, Bangladesh, Yemen, Guam, Laos, Kemboja dan Taiwan.

Dalam kalangan negara-negara Asia Tenggara, Malaysia kini berada di kedudukan kelapan, hanya mampu berada lebih baik berbanding Laos, Kemboja dan Brunei dengan Timor Leste, Indonesia dan Singapura berada di kedudukan lebih baik berbanding pasukan negara ketika ini.

Pengendali Harimau Malaya, Dollah Salleh yang dihubungi berkata, dia tidak ambil pusing dengan ranking itu tetapi me­ngakui sedikit kecewa kerana kedudukan semasa skuad negara boleh mempengaruhi undian serta peluang pasukannya untuk mara ke pusingan seterusnya.

“Susah saya hendak cakap pasal ranking ini kerana sampai sekarang saya tidak tahu kaedah apa yang FIFA gunakan. Tambahan pula apabila ranking kita turun mendadak sebegini, saya rasa macam tidak masuk akal kerana tidak menggambarkan prestasi sebenar kita.

“Apa yang saya tahu, kita pasti akan berada dalam balang terakhir semasa undian itu nanti tetapi walau apa pun terjadi nanti, pasukan saya akan berusaha memberikan yang terbaik di samping dalam masa masih mengharap sedikit tuah undian.

“Saya juga mengharapkan peminat-peminat di sekeliling kita tidak cepat menghukum apabila melihat ranking ini kerana kita masih boleh memperbaikinya nanti dengan mendapat keputusan baik dalam pusingan kelayakan,” katanya.

Tambah Dollah, kekalahan besar 6-0 kepada Oman telah memberikan satu pengajaran berguna kepada dirinya iaitu perlu mendapatkan sekurang-kurangnya masa satu minggu untuk pemain me­ngadakan latihan bersama.

“Untuk perlawanan persahabatan pada masa akan datang, saya tidak akan lagi mengadakan latihan selama tiga atau empat hari sahaja dan kemudian turun beraksi, ini seolah-olah menghulurkan leher saya untuk disembelih.

“Begitu juga dalam aksi kelaya­kan nanti, saya mahu mendapat ruang dan waktu yang secukup­nya sebelum berdepan dengan mana-mana pasukan,” katanya.

0 Comments
Disqus
Fb Comments
Comments :

0 Komen:

Catat Ulasan

Lazada Malaysia

Blog Serius - Serius Beb!