15 April 2015


GOMBAK – Pelawak Tauke (Jambu) membuat laporan polis terhadap tiga penulis blog ekoran kes penyebaran fitnah dengan menuduh dirinya merupakan individu yang dikaitkan sebagai pelawak kasanova.

Tauke atau nama sebenarnya Zamatul Amri Zakaria, 39, membuat laporan itu di Balai Polis Batu Caves kira-kira pukul 10 malam kelmarin.

Menurut Tauke, tindakan itu telah menjejaskan reputasinya sebagai seorang selebriti termasuk memberi kesan emosi terhadap mutu kerjayanya.

“Perbuatan mereka yang memanipulasikan gambar dan memutar belit cerita turut memberi kesan kepada kerjaya saya sebagai penyampai radio Era.

“Sebelum ini saya mengambil sikap mendiamkan diri dengan harapan berita itu akan selesai begitu saja namun, perkara itu terjadi sebaliknya apabila nama saya sering dikaitkan sebagai individu pelawak kasanova,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Tambahnya lagi, satu saman malu akan dikeluarkan melalui peguam­nya kepada tiga individu tersebut sebagai satu pengajaran agar tiada artis lain menerima nasib sepertinya.

Sementara itu, sumber polis berkata, pihaknya akan memanggil tiga penulis blog itu dalam jangka masa terdekat untuk merakamkan percakapan mereka.

“Tindakan lanjut akan dilakukan selepas kita merakamkan percakapan mereka bertiga,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.


0 Comments
Disqus
Fb Comments
Comments :

0 Komen:

Catat Ulasan

Lazada Malaysia

Blog Serius - Serius Beb!