24 April 2015


WASHINGTON – Seorang wanita Michigan dihukum penjara tiga hingga tujuh tahun kerana melepaskan tembakan di sebuah kaunter pandu lalu restoran McDonald’s selepas hidangan hamburgernya dua kali dihantar tanpa daging bakon, lapor media tempatan kelmarin.

Shaneka Monique Torres didapati bersalah pada Mac lalu kerana membawa senjata api tersembunyi, melepaskan tembakan ke arah bangunan dan menggunakan senjata api secara salah, lapor media WZZM.

Torres, 30, mengunjungi kaunter pandu lalu McDonald’s itu bersama seorang rakannya pada malam 10 Februari 2014 dan memesan hamburger keju bersama bakon.

Seorang pengurus premis itu memohon maaf apabila burger tersebut tiba tanpa bakon dan menawarkannya hidangan percuma, menurut media sama.

Dia kembali semula beberapa jam kemudian dan sekali lagi diberikan burger tanpa bakon. Torres yang berang menjerit ke arah pekerja restoran berkenaan sebelum mengeluarkan sepucuk pistol dari dalam dompetnya dan melepaskan beberapa das tembakan ke arah bangunan tersebut.

Tiada kecederaan dilaporkan tetapi tembakan itu menyebabkan tingkap kereta Torres pecah.

Wanita itu ditangkap sekitar 1.6 kilometer dari restoran berkenaan kira-kira 30 minit kemudian.

Peguam belanya memberitahu bahawa insiden tembakan itu tidak disengajakan dan bukan kerana Torres diberikan hidangan burger tanpa bakon.



0 Comments
Disqus
Fb Comments
Comments :

0 Komen:

Catat Ulasan

Lazada Malaysia

Blog Serius - Serius Beb!