18 Mei 2015


“Buat malu negara sahaja. Penyokong Singapura (Lions XII) jauh lebih matang daripada kita. Kita sepatutnya menjadi contoh kepada mereka.”

Itu kenyataan tegas Pengerusi Jawatankuasa Ke­selamatan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Muhammad Fuad Abu Zarim terhadap tindakan ganas segelintir penyokong Terengganu yang membakar ambulans, selain me­rosakkan kemudahan lain setelah pasukan mereka gagal ke final Piala FA, kelmarin.

Katanya, penyokong skuad Penyu harus berlapang dada dalam menerima kekalahan tersebut dan jangan bertindak terburu-buru dalam menjatuhkan hukuman.

“Biarpun mereka mendakwa keputusan pengadil salah, namun ia tidak boleh dijadikan alasan untuk membuat keganasan.

“Ini tidak, mereka bakar ambulans yang diletak di perkara­ngan stadium. Macam mana mereka sanggup bakar kenderaan itu sedangkan ia digunakan untuk hantar pemain atau penonton sakit ke hospital.

“Lebih teruk, mereka yang membawa keluarga dan anak-anak kecil terkena gas pemedih mata yang dilepaskan Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) kerana mahu menenteramkan keadaan,” kata­nya.

Difahamkan, penyokong tidak berpuas hati dengan pe­ngadil, Mohd. Amirul Izwan Yaacob kerana tidak mengesahkan gol keempat Terengganu menerusi Ahmad Nordin Alias pada minit ke-89 kerana ofsaid.

Kemenangan 3-2 yang diraih Terengganu pada separuh akhir kedua gagal menghalang wakil Singapura, Lions XII mara ke final menerusi peraturan gol tempat lawan setelah terikat 4-4 secara agregat.

Mengulas lanjut, beliau menggesa FAM mengambil tindakan drastik terhadap insiden tersebut yang dilihat mencemarkan imej negara.

Sementara itu, Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd. Amin dalam satu kenyataan rasmi berkata, keputusan pengadil dalam perlawanan itu adalah muktamad.

“Merujuk kepada bantahan pemain Terengganu selepas gol mereka dibatalkan, keputusan pengadil adalah muktamad.

“Bagaimanapun, kita masih menunggu laporan lengkap daripada pegawai perlawanan berhubung apa yang berlaku.

“Mengikut amalan biasa, segala aduan atau bantahan mengenai apa-apa keputusan pegawai perlawanan akan dirujuk kepada jawatankuasa yang berkenaan untuk dinilai.

“Berhubung tindakan penyokong Terengganu yang merusuh selepas perlawanan, FAM berasa dukacita. Jadi insiden ber­kenaan akan dibawa ke Jawatankuasa Tatatertib FAM.

“Mengenai status pemain import Terengganu, Paulo Rangel yang dilayangkan kad merah, dia dibenarkan beraksi untuk perlawanan bertemu Tottenham Hotspur, 27 Mei ini,” katanya dalam kenyataan itu.

0 Comments
Disqus
Fb Comments
Comments :

0 Komen:

Catat Ulasan

Lazada Malaysia

Blog Serius - Serius Beb!