26 Mei 2015


ATIFETE Jahjaga, 40, adalah presiden keempat Kosovo dan juga seorang wanita Muslim.

Ketika dipilih sebagai presiden pada 7 April 2011, Jahjaga baru berusia 36 tahun, sekali gus menjadikan beliau sebagai presiden wanita termuda di dunia.

Beliau juga muncul sebagai wanita pertama mengetuai negara di era Balkan moden.

Kehidupan awal  

Jahjaga dilahirkan di Gjakova pada tanggal 20 April 1975. Beliau mendapat pendidikan awal di tempat kelahirannya sebelum menyambung pelajaran dalam bidang undang-undang di Universiti Prishtina dan tamat pengajian pada tahun 2000.

Sekitar 2006 dan 2007, Jahjaga mengikuti program kepolisian dan undang-undang jenayah di Universiti Leicester di United Kingdom.

Beliau juga pernah menerima latihan profesional dari George C Marshall European Centre for Security Studies di Jerman dan FBI di Amerika Syarikat (AS).

Kerjaya polis

Selepas Perang Kosovo, Jahjaga menamatkan latihan untuk menjadi seorang pegawai polis.

Sepanjang menjadi anggota polis, beliau membina reputasi dan secara beransur-ansur menerima kenaikan pangkat.

Daripada anggota biasa, beliau dinaikkan pangkat sebagai mejar kemudian ke pangkat kolonel dan akhirnya dilantik sebagai mejar jeneral.

Di awal kariernya, beliau ditugaskan menjaga kawasan sempadan sebelum dipindahkan ke jabatan latihan.

Pada 2010, beliau dilantik sebagai Timbalan Pengarah Polis Kosovo.

Dilantik sebagai presiden

Tarikh 6 April 2011 menyaksikan Parti Demokratik Kosovo, Parti Liga Kosovo dan Parti Pakatan Kosovo serta disokong oleh Duta AS di Kosovo, Christopher Dell telah memilih Jahjaga sebagai presiden baharu menggantikan Jakup Krasniqi. Meskipun Jahjaga tiada latar belakang politik dan hanya memiliki reputasi sebagai komander polis, namun orang ramai menyedari kecenderungan politik beliau.

Pada 7 April, Jahjaga secara rasmi dipilih sebagai presiden dalam pusingan pertama pengundian oleh Parlimen selepas menerima 80 undi daripada 100 ahli Parlimen.

Dalam ucapan sulung beliau, Jahjaga menyatakan bahawa salah satu matlamat utamanya selepas dilantik sebagai presiden adalah mendapatkan keahlian Kosovo dalam Kesatuan Eropah (EU) dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Dan sejak mengambil alih jawatan presiden, Jahjaga berusaha keras mengukuhkan institusi demokrasi dan cuba mendapatkan perhatian antarabangsa untuk mengiktiraf kosovo.

Kesal sikap membisu dunia Islam

Jahjaga pernah menyatakan kekesalannya terhadap sikap negara-negara Islam yang sebahagianya belum mengiktiraf kemerdekaan Kosovo dari Serbia.

Pada 2008, Perdana Menteri Kosovo, Hashim Thaci mengisytiharkan kemerdekaan negaranya dari Serbia yang mendapat pengiktirafan segera AS dan kebanyakan negara Barat tetapi tidak diiktiraf Serbia dan Rusia.

"Kami hairan dan tertanya-tanya mengapa sebahagian besar negara Arab dan Islam belum mengakui kemerdekaan Repbulik Kosovo padahal banyak negara Eropah dan AS sudah mengakuinya.

“Kami di Kosovo perlu sokongan politik dengan segera bagi mempertahankan kemerdekaan ini dan kami juga perlukan sokongan negara Islam untuk membangunkan negara kami dalam semua bidang,” katanya.

Difahamkan hanya enam negara Arab mengiktiraf Kosovo iaitu Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu, Qatar, Bahrain, Jordan dan Oman.

Manakala negara yang menganggotai Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) hanya Turki, Malaysia, Afghanistan, Maghribi, Jibouti dan Maldives mengiktiraf kemerdekaan Kosovo.
0 Comments
Disqus
Fb Comments
Comments :

0 Komen:

Catat Ulasan

Lazada Malaysia

Blog Serius - Serius Beb!