27 Mei 2015


SEKUMPULAN penyokong skuad Kelantan mendesak jurulatih Mohd. Azraai Khor Abdullah agar melepaskan jawatannya selepas pasukan itu gagal merangkul kejuaraan Piala FA, Sabtu lalu.

Wakilnya, Abdullah Mat berkata, Azraai perlu bertanggungjawab sepenuhnya atas kegagalan tersebut apabila wujud kelemahan dalam percaturannya pada perlawanan yang menyaksikan Kelantan tewas mudah 1-3 kepada Lions XII.

Katanya, lebih mendukacitakan apabila kekalahan itu hadir di hadapan puluhan ribu penyokong setia Kelantan di Stadium Nasional, Bukit Jalil.

“Percaturan taktikalnya tidak menjadi dan sejak membim­bing Kelantan dua bulan lalu, tidak ba­nyak kemajuan dicapai, malah sudah lima kali kita kalah dalam saingan Liga Super dan kempen Piala FA.

“Kekalahan kepada Lions XII merupakan di luar jangkaan ketika seluruh peminat bola sepak di negara ini berpendapat Kelantan adalah pasukan pilihan untuk memenangi Piala FA itu. Bukan penyokong Kelantan sahaja yang kecewa, seluruh Malaysia turut kecewa,” katanya.

Tambahnya, kekalahan kepada Lions XII sukar untuk diterima, malah amat memalukan memandangkan skuad bim­bingan Fandi Ahmad itu hanya membariskan pemain tempatan.

Seorang lagi penyokong, Suhaimi Mat turut mendesak Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) mengambil tindakan drastik memecat jurulatih kelahiran Kedah itu.

“Kita kena cari jurulatih lain kalau mahu pasukan ini mencipta kebangkitan selepas ini,” katanya.

Pada masa sama, Suhaimi turut kecewa dengan prestasi pemain import dan dianggap sebagai punca kegagalan pasukannya melengkapkan misi merangkul kejuaraan kali ketiga Piala FA itu dalam tempoh tujuh tahun.


0 Comments
Disqus
Fb Comments
Comments :

0 Komen:

Catat Ulasan

Lazada Malaysia

Blog Serius - Serius Beb!