6 Mei 2015


Kesedihan yang ditanggung oleh Nur Firuza Amira Fairuz Nizam, 7, dan Nur Firuza Aqila Fairuz Nizam, 4, susulan kehilangan kedua-dua ibu bapa serta adik bongsu mereka dalam sebuah kemalangan jalan raya di Lebuhraya Duta Ulu Kelang (DUKE) pada Sabtu sedikit terubat hari ini.

Ia ekoran kesudian penyanyi nombor satu negara Datuk Siti Nurhaliza Tarudin dan suami Datuk Khalid Mohamad Jiwa berkunjung ke kediaman keluarga mereka bagi memberi secebis keceriaan dan harapan kepada dua beradik itu.

Difahamkan Datuk Siti membuat keputusan untuk melawat mereka selepas mengetahui tentang rakaman video yang viral di internet memaparkan permintaan Nur Firuza Amira yang menyatakan keinginan bertemu dengan beliau.

"Setelah mengetahui tentang berita kemalangan tersebut, memang saya ingin bertemu dengan dua beradik ini. Malah, ribuan peminat saya telah meletakkan 'tag' pada Instagram saya bersama pautan kepada video itu," ujar Siti.

Siti mengakui bahawa jiwanya amat tersentuh apabila bertemu Amira dan Aqila, namun beliau menyembunyikan perasaannya.

"Saya tidak mahu menangis di depan mereka. Mereka telah lalui dugaan berat ini yang kita terima sebagai suratan takdir. Namun kita harapkan mereka tabah dan dapat menempuh hari-hari mendatang dengan lebih baik," ujar beliau sebak.

Penyanyi itu turut menafikan sebuah laporan di internet yang menyatakan bahawa beliau berminat mengambil Amira sebagai anak angkat.

"Itu tidak benar. Perkara ini baru berlaku dan kita harus menghormati perasaan keluarga terdekatnya. Amira tetap akan bersama keluarga dan saudara-maranya, dan saya sekadar membantu setakat yang mampu," jelas beliau.

Siti Nurhaliza dan suami meluangkan masa hampir sejam bersama keluarga mangsa. Amira dilihat mesra duduk di pangkuan Siti Nurhaliza sepanjang pertemuan itu.

Dalam pertemuan itu, beliau telah menceriakan kedua-dua beradik tersebut dengan pemberian hadiah berupa persalinan pakaian, permainan dan anak patung.

Tambah beliau, dua beradik berkenaan turut akan dibantu dari segi pendidikan melalui Yayasan NurJiwa.
0 Comments
Disqus
Fb Comments
Comments :

0 Komen:

Catat Ulasan

Lazada Malaysia

Blog Serius - Serius Beb!