13 Mei 2015


Tampil dengan imej bertudung, pelakon, penyanyi dan pengacara, Yana Samsudin kini kelihatan lebih manis dan anggun. Namun begitu, semenjak kebelakangan ini, jarang kita melihat kelibat Yana di kaca televisyen atau layar perak membintangi sesebuah drama atau filem. Adakah Yana sudah mahu berhenti berlakon selepas tampil dengan imej baru?

"Untuk tahun 2015, sebenarnya saya sudah menyimpan keinginan untuk menumpukan perhatian kepada dua bidang iaitu pengacaraan serta nyanyian berbanding bidang lakonan yang saya aktif sebelum ini. Muncul dengan penampilan baru, ianya menguatkan lagi fokus saya terhadap dua bidang tersebut. Bukan mahu berhenti, tetapi saya hanya mahu menumpukan fokus terhadap dua perkara ini untuk tahun ini," ujar Yana memulakan perbualan.

Tidak melihat penampilan barunya sebagai satu batasan dalam bidang lakonan, pelakon filem Wawa Semput ini percaya yang perkara tersebut tidak menjadi satu isu kerana sudah ramai pelakon wanita yang mengenakan hijab di negara ini.

"Berhijab bukanlah batasan, asalkan karakter dan jalan cerita tersebut kena dengan imej dan penampilan baru saya, tidak salah untuk saya ambil tawaran tersebut. Industri hiburan kita semakin terbuka, sudah ramai pelakon wanita yang mengenakan hijab di Malaysia," katanya lagi.

Diminta mengulas mengenai penghijrahannya, Yana enggan mengulas lanjut mengenai perkara tersebut dan menjelaskan segalanya terjadi secara natural.

"Saya tak mahu kenyataan saya akan disalah ertikan. Jadi ada baiknya jika saya tidak memberi komen lanjut. Saya bersyukur dengan penampilan baru ini. Semuanya terjadi sendiri, secara natural," kata Yana mengakhiri perbualan.
0 Comments
Disqus
Fb Comments
Comments :

0 Komen:

Catat Ulasan

Lazada Malaysia

Blog Serius - Serius Beb!