28 Mei 2015


Sekiranya DAP terus menyerang Pas ketika ini, nescaya pakatan pembangkang akan berpecah selepas ini, sekali gus menjadikan parti cauvinis itu sebagai punca perpecahan tersebut.

Sehubungan itu, Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz berkata, DAP perlu menghentikan polemik serangan terhadap Pas bagi mengekalkan pakatan pembangkang.

“Kalau Pas itu main rentak DAP, makin jadi pecahlah. Saya tidak hendak tulis pelik-pelik kerana pemilihan (Muktamar Pas) ini saya nak puasa banyak,” katanya ketika ditemui pemberita di lobi Parlimen hari ini.

Nik Mohamad Abduh memberitahu, beliau dan ahli-ahli Pas sememangnya tidak berpuas hati dengan tindakan DAP terus menyerang peribadi kepimpinan ulama termasuk Presiden parti itu, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

“Bagi saya, kalau semakin DAP serang ulama seperti Presiden (Abdul Hadi), semakin orang (anggota parti) simpati kerana hendak mengundi bukan DAP, tetapi ahli Pas. Tak tahulah kalau DAP mahu Abdul Hadi kekal (presiden) se-nang hendak keluar pakatan pembangkang,” katanya.

Mengenai provokasi DAP untuk Pas bertindak keluar pakatan pembangkang dan membentuk Kerajaan Perpaduan (UG) dengan Barisan Nasional (BN), beliau menyifatkan ini sebagai ‘muslihat politik’ dan yakin parti tidak akan mengambil tindakan sedemikian.

“Saya tak suka isu yang dibangkitkan DAP diperbesarkan. DAP banyak merujuk kepada isu hudud dan isu Pas nak ‘join’ BN (UG), sedangkan bagi kita, Presiden saya sendiri yang saya faham, isu ini tiada dan tidak berbangkit.

“Pertama sekali, saya sebut isu hudud ini bukan sepatutnya isu yang boleh memecahkan pakatan pembangkang. Saya harap pimpinan tertinggi Pas mempunyai langkah untuk meredakan keadaan ini,” katanya.

Krisis antara Pas dengan DAP timbul apabila wujud pertikai­an membabitkan keputusan Abdul Hadi untuk membawa Rang Undang-Undang Persendirian bagi membolehkan pelaksanaan hukum hudud di Kelantan.

Sebelum ini, Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng mendakwa, hanya jasad Abdul Hadi bersama pakatan, sebaliknya hati Presiden Pas itu bersama UMNO.

Guan Eng turut mengkritik Abdul Hadi bukan saja tidak turun berkempen pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Permatang Pauh, malah turut tidak menyatakan so­kongan secara terbuka kepada Ketua Pembangkang, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail.

Semalam, Abdul Hadi berkata, pada ketika ini, beliau mengambil pendekatan tunggu dan lihat dalam konflik hubungan antara DAP dengan parti itu.

Katanya, fokus utama beliau kini adalah terhadap pemilihan par­ti kerana apa juga keputusan akan ditentukan selepas tamat muktamar kelak.

0 Comments
Disqus
Fb Comments
Comments :

0 Komen:

Catat Ulasan

Lazada Malaysia

Blog Serius - Serius Beb!