27 Mei 2015


Dikurung dalam bangsal dibaluti kawat berduri yang tidak ubah seperti kandang binatang. Jika cuba lari, mereka akan disumbat dalam kandang berjeriji yang lebih kecil selepas ditangkap.

Makanan juga hanya dua kali sehari itu pun amat terhad sekadar untuk meneruskan hidup sehingga ada yang mati tidak pasti sama ada diseksa, kebuluran atau sakit.

Itulah layanan yang diterima warga asing dipercayai daripada Myanmar dan Bangladesh di kem penempatan di Bukit Wang Burma, Wang Kelian di sini.

Gambaran menyayat hati itu diperoleh lebih 40 wartawan tempatan dan asing yang dibawa ke kem tersebut hari ini.

Kem tersebut telah beroperasi sejak 2013 dan dianggarkan boleh memuatkan seramai 300 orang pada satu-satu masa.

Kawasan terletak hanya kira-kira 300 meter dari sempadan Thailand itu mempunyai bentuk muka bumi yang berbukit curam dan berbatu serta hutan sederhana tebal.

Untuk sampai ke kawasan tersebut yang berkeluasan 100 meter persegi pula perlu mendaki selama dua jam setengah.

Hasil tinjauan sebaik tiba di kem tersebut mendapati, terdapat dua buah bangsal besar dua tingkat diperbuat daripada kayu dibaluti dengan kawat berduri bagi mengelak warga asing meloloskan diri.

Selain daripada itu, terdapat dua pos kawalan keselamatan di atasnya serta laluan seperti jambatan bagi membolehkan pengawal bersenjata api memerhatikan dari atas kumpulan warga asing terbabit.

Berdasarkan maklumat, kumpulan warga asing terbabit perlu membayar wang sejumlah RM6,000 hingga RM7,000 seorang untuk be­kerja di negara ini.

Bagaimanapun, mereka terlebih dahulu akan dikurung di bangsal tersebut sehingga keluarga di kampung halaman selesai menjelaskan bayaran penuh dan barulah dibawa oleh sindiket memasuki Malaysia.

Tidak jauh dari kem itu, iaitu kira-kira 10 minit perjalanan pula terdapat sebuah kawasan perkuburan berbukit yang digunakan untuk menanam mangsa yang mati.

Hasil pemeriksaan kira-kira 30 anggota forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang baru tiba hari ini, terdapat 37 buah kubur mangsa-mangsa pemerdagangan manusia di situ.

Kesemua kubur yang ditemukan hanya digali ahli sindiket sedalam antara 0.3 hingga 0.9 meter sahaja kerana tanah yang keras menyebabkan binatang buas seperti babi hutan menggalinya.

Ketika tinjauan dilakukan, ada satu tengkorak manusia dijumpai di atas tanah.

Difahamkan, terdapat beberapa lagi kem sama di kawasan terbabit yang dipercayai masih baru beroperasi kira-kira enam bulan lalu tetapi terletak kira-kira dua jam perjalanan dari situ.

0 Comments
Disqus
Fb Comments
Comments :

0 Komen:

Catat Ulasan

Lazada Malaysia

Blog Serius - Serius Beb!