6 Mei 2015


Pelbagai pihak terus mengecam tindakan Majlis Amanah Rakyat (MARA) yang dilapor bersedia memberi peluang kedua kepada pesalah pedofil, Nur Fitri Azmeer Nordin yang kini dihukum penjara. Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin antara yang mengecam langkah MARA itu yang disifatkan beliau tidak sepatutnya berlaku atau ada peluang kedua. 

"Harap MARA tidak membazir duit rakyat. #NoSecondChance. "Selepas menjalani hukuman penjara & pemulihan yang panjang, pedo boleh usahakan peluang kedua by himself (untuk dirinya sendiri). Tak perlu tajaan MARA etc," katanya dalam laman Twitter. 

Khairy yang juga Ketua Pemuda UMNO antara ribuan pengikut media sosial yang menyokong kempen #NoSecondChance di laman Twitter terhadap pelajar berkenaan. MARA sebelum ini dilapor bersedia memberi peluang kedua kepada Nur Fitri yang kini menjalani hukuman penjara bersabit kesalahan memiliki lebih daripada 30,000 imej dan video lucah kanak-kanak di London. 

Pelajar berusia 23 tahun itu akan diberi peluang meneruskan pengajian di mana-mana institusi MARA dalam negara sejurus selesai menjalani hukuman. EXCO Pemuda UMNO, Ibdilillah Ishak berkata, tindakan agensi berkenaan memberi peluang kedua untuknya menyambung pengajian di mana-mana institut MARA dalam negara dianggap tidak rasional.

'Mana mungkin seorang pedofilia diberi peluang kedua hanya kerana pelajar tersebut adalah pelajar pintar Matematik. Saya berpendapat bahawa Nur Fitri patut dihukum seberat-beratnya, kerana apa yang dilakukan itu adalah satu jenayah. "Ini bukan soal pelajar itu 'genius' atau sebagainya. Ini soal jenayah dan salah laku. 

Orang seperti Nur Fitri harus diteruskan hukumannya agar menjadi pengajaran kepada masyarakat," katanya. Beliau menjelaskan, soal penganiayaan terhadap kanak-kanak tidak boleh kompromi, jika itu satu perbuatan jenayah, maka MARA atau apa juga agensi tidak patut memberi peluang kedua atas alasan apa sekalipun. 

Pengerusi MARA, Tan Sri Annuar Musa menerusi akaun Facebooknya sebelum ini turut menyatakan pelajar itu harus dibantu dari sudut mendapatkan bimbingan, kaunseling dan pengajian seterusnya. "Beliau tidak harus dikecam begitu saja. Sebagai anak muda beliau punya masa depan yang perlu kita beri sokongan seterusnya," katanya

0 Comments
Disqus
Fb Comments
Comments :

0 Komen:

Catat Ulasan

Lazada Malaysia

Blog Serius - Serius Beb!