1 Mei 2015


KUALA LUMPUR - Tindakan Kementerian Dalam Negeri (KDN) merampas beberapa buah buku di tapak gerai Gerakbudaya di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur semalam merupakan tindakan yang tidak bijaksana, kata Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kota Buku, Sayed Munawar Sayed Mohd Mustar.

Katanya, tindakan itu hanya akan menghangatkan lagi sesebuah buku itu di pasaran selain membina kontroversi dan memberi persepsi negatif terhadap kerajaan.

"Dalam dunia tanpa sempadan, secara semulajadinya bila sesbuah buku itu diumumkan haram, buku itu mendapat promosi," katanya ketika dihubungi Astro AWANI.

Menurut Sayed Munawar, rampasan terhadap buku seperti Money Logging juga akan menimbulkan persepsi bahawa pembalakan haram secara besar-besaran memang benar berlaku.

"Buku-buku seperti 'Hinduisme Agama Tauhid Terawal?' dan 'Gautama Seorang Nabi?' mungkin boleh difahami kenapa ianya dirampas, tetapi buku 'Money Logging' kenapa ianya dirampas?" soalnya.

Ujarnya meskipun KDN berhak menyiasat buku-buku tersebut serta tidak perlu memperjelaskan tentang rampasan yang dibuat, namun katanya orang awam juga perlu tahu tentang bidang kuasa mereka.

"Kalau hanya timbulkan persepsi negatif, penatlah," tambah Sayed Munawir.

Sementara itu, pengasas Gerakbudaya, Chong Ton Sin ketika dihubungi berkata buku-buku yang dirampas bukanlah buku yang baharu kerana ada di antaranya yang sudah lama diterbit dan dijual.

Katanya buku seperti 'Hidup Bagaikan Sungai Mengalir' telah berada di pasaran lebih 10 tahun.

Menurut Chong yang lebih mesra dipanggil Pak Chong, beliau telah dimaklumkan KDN bahawa buku-buku tersebut dirampas kerana disyaki melanggar undang-undang di bawah Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.

"KDN kata dia akan periksa, kalau tak salah dia akan pulangkan," katanya.

Ditanya mengenai jumlah buku yang dirampas, Pak Chong berkata jumlah agak banyak meskipun beliau telah meminta KDN supaya hanya satu salinan untuk setiap buku.

"Banyak.. ada yang 17 salinan, ada yang 19 salinan. Buku seperti 'Hidup Bagaikan Sungai Mengalir' bukanlah buku yang baharu.. buku itu sudah lama, sudah 10 tahun," jelasnya.

KDN pada Khamis telah melakukan rampasan ke atas beberapa buah buku di gerai milik Gerakbudaya di Pesta Buku KL.

Antara buku-buku yang dirampas pada operasi yang dilakukan pada tengah hari itu termasuk Money Logging, Hidup Bagaikan Sungai Mengalir; Marx Sang Pendidik Revolusioner; Hinduism Agama Tauhid Terawal?; Gautama Seorang Nabi?; Shiite Islam; dan The Holy Quran.

Ia dipercayai rampasan buku yang pertama kali dibuat di tapak pesta buku tersebut yang diadakan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC). Usaha untuk menghubungi pihak KDN bagaimanapun gagal.
0 Comments
Disqus
Fb Comments
Comments :

0 Komen:

Catat Ulasan

Lazada Malaysia

Blog Serius - Serius Beb!