6 Mei 2015


SEMUA lapisan masyarakat Malaysia melahirkan kesedihan terhadap kemalangan maut yang menimpa sebuah keluarga di Lebuhraya Duta-Ulu Klang (Duke), pada awal pagi Sabtu lalu.

Kemalangan itu meragut nyawa seorang bapa, Fairuz Nizam Husain, 35, serta isterinya, Nova Safitri Azhari, 27, dan bayi mereka yang berusia tujuh bulan, Nur Firuza Annisa.

Yang menjadi kemarahan orang ramai adalah apabila dikatakan bahawa kemalangan tersebut berlaku disebabkan perlumbaan antara enam buah kereta Perodua Myvi di tempat kejadian.

Dan yang lebih menyedihkan apabila memikirkan bagaimana nasib dua orang lagi anak mangsa yang masih kecil iaitu Nur Firuza Amira dan Nur Firuza Aqila masing-masing berusia 7 dan 4 tahun untuk meneruskan kehidupan mereka di dunia ini tanpa ibu bapa mereka di sisi.

Siapa yang akan membela nasib mereka dalam tempoh yang amat panjang lagi untuk mereka menjadi dewasa - masuk ke alam persekolahan kemudian ke institusi pengajian tinggi dan bekerja.

Jika diteliti undang-undang Sivil, diperuntukkan di bawah Seksyen 41 yang pesalah hanya dikenakan hukuman penjara tidak kurang dua tahun dan tidak lebih 10 tahun, serta denda tidak kurang RM5,000 dan tidak lebih RM10,000 dan hilang kelayakan daripada memegang lesen memandu selama tidak kurang dari tiga tahun.

Akan tetapi, keluarga mangsa tidak mendapat pembelaan sewajarnya sama ada pampasan daripada penjenayah dan sebagainya. Bahkan, denda yang dikenakan kepada penjenayah tersebut hanya diberikan kepada kerajaan bukannya kepada keluarga mangsa.

Melainkan perlu melalui tuntutan fail di mahkamah yang sudah pasti akan melalui prosedur dan kos yang berlainan.

Ini sangat berbeza dengan ketetapan di dalam Undang-undang Syariah dalam menyelesaikan kes ini. Dalam Islam, sebarang jenayah pembunuhan seakan-akan sengaja (Shibhu ‘amd) tanpa niat, diwajibkan kepada penjenayah untuk membayar diyaat (ganti rugi) kepada keluarga mangsa bukannya kerajaan.

Jika dibuka di dalam kitab-kitab fiqh seperti Fiqh Islam wa Adillatuh, Syeikh Wahbah Zuhaili menyebut bahawa diyaat yang dikenakan kepada jenayah pembunuhan tanpa niat (dalam konteks kes ini) adalah diyaat mukhaffafah (diyaat ringan), iaitu 100 ekor unta yang dibayar secara beransur-ansur selama tiga tahun dan setiap tempoh masa satu tahun dibayar 1/3 diyaat.

Walau bagaimanapun para ulama berpendapat boleh menggantikan 100 ekor unta dengan harta yang senilai dengannya pada masa tersebut. Di antaranya ialah:

a. Wang Emas - 1,000 dinar
b. Wang Perak - 10,000 dirham
c. Lembu - 200 ekor
d. Kambing ­- 2,000 ekor
e. Persalinan - 200 persalinan lengkap.

Kadar seekor unta misalnya RM4,000 maka jumlah satu diyaat penuh ialah RM 400,000 manakala jika seekor lembu RM2,000 maka satu diyaat penuh ialah RM400,000. Begitulah nilai semasa satu diyaat penuh.

Cuba bayangkan jika di dalam kes ini yang menyebabkan kematian seramai tiga orang, maka penjenayah perlu membayar ganti rugi tersebut kepada waris mangsa dalam kadar tiga kali ganda daripada kadar diyaat asal iaitu dalam kiraan kasar adalah lebih kurang RM1.2 juta.

Di sinilah dapat kita teliti rahmatnya undang-undang Syariah Islam berbanding undang-undang Sivil kerana ini bukan sahaja dapat menjatuhkan hukuman kepada penjenayah akan tetapi dapat membela waris mangsa dengan sewajarnya.

Akhirnya, salam takziah daripada seluruh pelajar Undang-Undang Kuliah Ahmad Ibrahim kepada keluarga yang terlibat. Semoga roh mereka dirahmati Allah. Al-Fatihah.

0 Comments
Disqus
Fb Comments
Comments :

0 Komen:

Catat Ulasan

Lazada Malaysia

Blog Serius - Serius Beb!