13 Mei 2015


Pas Kelantan menyelar tindakan Penasihat DAP, Lim Kit Siang yang tidak menghormati pendirian parti itu apabila cuba ‘mengajar’ dan ‘menyanggah’ pelaksanaan hukum hudud di negeri ini.

Malah sayap kanan parti itu, Dewan Pemuda Pas Kelantan menyifatkan pemimpin veteran DAP itu sebagai kurang ajar kerana sengaja mencetuskan provokasi di negeri ini.

Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah berkata, beliau menerima banyak maklum balas daripada pelbagai pihak yang tidak berpuas hati dengan Kit Siang memandangkan kenyataannya pada malam ceramah itu bercanggah dengan usaha kerajaan negeri selama ini.

Beliau turut bersetuju dengan reaksi Ahli Parlimen Pasir Mas, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz bahawa keberanian Kit Siang untuk memberikan kenyataan seperti itu adalah didorong oleh pemimpin Pas tertentu dan perkara tersebut tidak akan berlaku sekiranya bekas Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat masih hidup.

“Bagi saya, nak mari tidak apa, dia boleh bercakap tentang apa sahaja isu negara seperti GST (cukai barang dan perkhidmatan) dan lain-lain.

“Tetapi tidak manislah dia bercakap tentang sesuatu yang bercanggah dengan hasrat dan usaha kerajaan negeri sejak sekian lama. Dia sebagai tetamu sepatutnya menghormati tuan rumah, suasana dan masyarakat di Kelantan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Dalam ceramahnya di Padang Perdana, di sini kelmarin, Kit Siang memanfaatkan sepenuhnya ruang disediakan oleh Pas Kawasan Kota Bharu untuk 'mengajar' pemimpin serta kira-kira 1,000 penyokong setia Pas tentang pelaksanaan hukum hudud.

Biarpun hudud menjadi dasar perjuangan Pas sejak sekian lama, beliau tanpa segan-silu atau rasa kekok menyanggah pelaksanaan undang-undang Islam di negeri ini di hadapan Timbalan Presiden Pas sendiri iaitu Mohamad Sabu atau Mat Sabu.

Dalam pada itu, Mohd. Amar yang juga Timbalan Pesuruhjaya 1 Pas negeri berkata, pihaknya tidak pernah dimaklumkan secara rasmi oleh Pas Kawasan Kota Bharu mengenai kehadiran Kit Siang, sebaliknya sekadar mengetahui penganjuran ceramah tersebut menerusi poster.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai kehadiran Mat Sabu yang sudi berkongsi pentas sama dengan pemimpin pembangkang yang diketahui memang menolak hudud seperti Kit Siang dan Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli.

“Mungkin Timbalan Presiden tidak menduga Kit Siang nak cakap macam itu,” katanya.

0 Comments
Disqus
Fb Comments
Comments :

0 Komen:

Catat Ulasan

Lazada Malaysia

Blog Serius - Serius Beb!