27 Mei 2015


Persoalan sama ada Pas akan terus bersama pakatan pembangkang atau sebaliknya yang dibayangkan oleh Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, bakal terjawab selepas Muktamar Tahunan yang bakal berlangsung pada 4 hingga 6 Jun ini.

Abdul Hadi berkata, beliau ketika ini mengambil pendekatan tunggu dan lihat dalam konflik hubungan antara DAP dengan parti itu.

Katanya, fokus utama beliau kini adalah terhadap pemilihan par­ti kerana apa juga keputusan akan ditentukan selepas tamat muktamar nanti.

Berhubung kedudukan Pas sekiranya parti itu meninggalkan pakatan tersebut, Abdul Hadi berkata, itu adalah perkara biasa kerana Pas pernah bergerak secara sendirian dan pernah juga bersama kerajaan.

“Saya tumpu kepada pemilihan Pas, saya seronok jika ada parti lain yang tolong kempen untuk saya. Saya tunggu keputusan muktamar nanti. Cara terbaik menyelesaikan kemelut terbabit tunggu dan lihat.

“Kita semuanya pernah, pernah bersendirian, pernah bersama kerajaan dan pernah duduk di luar kerajaan. Cuma biasanya perkara lama tidak akan berulang,” katanya ketika ditemui di lobi Parlimen hari ini.

Krisis antara Pas dengan DAP timbul apabila wujud pertikai­an membabitkan keputusan Abdul Hadi untuk membawa Rang Undang-Undang Persendirian bagi membolehkan pelaksanaan hukum hudud di Kelantan.

Kelmarin di Parlimen, Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng terus mengkritik Presiden Pas itu apabila mendakwa hanya jasad Abdul Hadi bersama pakatan, sebaliknya hati bersama UMNO.

Guan Eng turut mengkritik Abdul Hadi bukan saja tidak turun berkempen pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Permatang Pauh, malah turut tidak menyatakan so­kongan secara terbuka kepada Ketua Pembangkang, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail.

Menjawab kritikan itu, Abdul Hadi menjelaskan, beliau masih lagi bersama pakatan pembangkang dan Guan Eng tidak mengetahui apa yang terbuku di hatinya serta tidak berhak untuk mengeluarkan kenya­taan sebegitu.

Sementara itu, Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah pula berkata, Pas setakat ini masih mengambil pendekatan menegur atau memberi nasihat kepada DAP dengan lembut kerana mahu menjaga hubungan yang terjalin dengan parti-parti sekutu.

“Apabila nasihat tidak jadi, itu yang kita rasa dukacita. Sepatutnya dia (DAP) ambil kira (sebelum membuat kenyataan) sebab kita pun ada perasaan.

“Kalau kita mula menyerang apa akan jadi kepada Pakatan Rakyat? Kita pun pandai juga mengata pada orang ni dan kalau saya sendiri kata, mungkin lebih berat daripada kata-kata Lim Guan Eng lagi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri mesyuarat Badan Perhubungan Pas Kelantan di Pusat Tarbiah Islam Kelantan (Putik) di Pengkalan Chepa, di sini hari ini.

0 Comments
Disqus
Fb Comments
Comments :

0 Komen:

Catat Ulasan

Lazada Malaysia

Blog Serius - Serius Beb!