Kelab gergasi England, Manchester United sedang mengintai penyerang sensasi Real Madrid, Karim Benzema untuk memperkukuhkan barisan hadapan sebagai persediaan awal untuk menghadapi saingan Liga Juara-Juara dan Liga Perdana England musim depan.
Pengendali The Red Devils, Louis van Gaal kini ingin memperkuatkan barisan hadapan mereka setelah menghadapi masalah serius apabila pasukan itu hanya menduduki tangga keempat Liga Perdana England dengan 26 gol sepanjang musim ini.
Empat penyerang yang dimiliki skuad The Red Devils iaitu Wayne Rooney, Robin van Persie, Radamel Falcao dan James Wilson ternyata tidak mampu membawa United merangkul trofi pada musim ini, sekali gus mendorong van Gaal untuk memancing pemain kebangsaan Perancis itu.
Van Gaal dijangka memancing penyerang berusia 27 tahun itu dengan nilai perpindahan £40 juta (RM224 juta).
“Kami sedang melihat untuk membawa Benzema bagi memperkuatkan lagi bahagian penyerang sebagai persediaan awal melayakkan diri ke Liga Juara-Juara,” Katanya.
Dalam pada itu, Benzema telah menyertai Real daripada Lyon pada tahun 2009 dan pada musim panas lalu telah menandatangani satu perjanjian baharu selama lima tahun dengan kelab gergasi Sepanyol.
Bagaimanapun, keputusan itu belum dipastikan kerana Rafael Benitez dijangka dilantik sebagai pengganti Carlo Ancelotti.
Benitez dilaporkan bersedia untuk membina pasukannya bersama Gareth Bale dan Cristiano Ronaldo, namun masa depan Benzema bersama United masih belum dapat dipastikan.