20 Mei 2015


FILEM pecah panggung tempatan, The Journey telah mencetuskan fenomena yang tersendiri, sekali gus diiktiraf sebagai karya paling tinggi kutipannya di negara ini.

Tidak mahu terus tenggelam dibuai kejayaan yang dikecapi sebelum ini, pengarah filem berkenaan, Chiu Keng Guan mahu meneruskan momentumnya tampil dengan produk terbaharu berjudul Ola Bola, kisah kegemilangan pasukan bola sepak Malaysia suatu ketika dahulu.

Mempertaruhkan Bront Palare sebagai satu-satunya bintang dalam karya yang sedang menjalani penggambaran itu di samping barisan pelakon baharu yang lain, Keng Guan yakin kekuatan jalan cerita yang dimilikinya mampu memikat hati bakal penonton, tanpa memerlukan aktor atau aktres popular sedia ada.

Bertemu dengannya di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur baru-baru ini, Keng Guan berkata, filem yang diberi tajuk Ola Bola itu mengambil inspirasi daripada kegemilangan pasukan bola sepak kebangsaan sewaktu berjaya memasuki Sukan Olimpik 1980 di Moscow.

Sejak mula terbabit dalam bidang perfileman beberapa tahun lalu, Keng Guan tekad untuk menjadikan sukan bola sepak sebagai subjek untuk diketengahkan dalam karya arahannya.

“Ini kerana, saya amat meminati sukan ini sejak kecil lagi. Setiap perkembangan berkaitan sukan ini saya ikuti dan begitu berbangga dengan kejayaan Malaysia suatu ketika dahulu.

“Jadi, untuk mengimbas semula nostalgia manis yang diibaratkan peristiwa bersejarah industri sukan negara itu, saya berjanji dengan diri sendiri untuk menghasilkan filem bertemakan sukan ini untuk dijadikan medium penceritaan kepada generasi baharu.

“Bukan itu sahaja, penerbitan filem ini juga diharapkan menjadi pemangkin kepada warga tempatan yang menontonnya, terutama peminat bola sepak yang cintakan sukan ini kembali memartabatkan bola sepak ke tahap yang lebih tinggi berbanding sekarang,” katanya.

Mengakui bukan mudah untuk merealisasikan hasratnya itu, Keng Guan memberitahu dia terpaksa berhadapan dengan pelbagai kekangan sebelum dapat memenuhi kehendaknya.

Menurut sutradara berbangsa Tionghua itu, lokasi penggambaran serta segala kelengkapan yang berimejkan tahun 80-an perlu diberi perhatian supaya kesinambungan cerita tersebut nampak kemas, kena dengan eranya.

Selain itu, pihak produksi Astro Shaw terpaksa mengadakan sesi uji bakat untuk mengenal pasti pelakon pembantu dan tambahan yang memiliki kemahiran bermain bola sepak dengan baik, pada masa yang sama boleh berlakon.

“Kami menjumpai dua pelakon baharu iaitu JC Chee dan Luqman Hafidz yang meneraju pasukan bola sepak negara dalam filem ini. Walaupun masih muda, mereka berbakat untuk menjayakan kedua-dua tugasan sama ada sebagai pelakon mahupun pemain bola sepak,” jelasnya. 
0 Comments
Disqus
Fb Comments
Comments :

0 Komen:

Catat Ulasan

Lazada Malaysia

Blog Serius - Serius Beb!