29 Mei 2015


SERAMAI 4,500 kakitangan Malaysia Airlines (MAS) ba­kal meninggalkan syarikat itu pada 31 Ogos, dan kira-kira 1,500 lagi secara berperingkat-peringkat mengikut tempoh tamat kontrak masing-masing.

Semua mereka akan mene­rima surat penamatan kerja pada 1 Jun ini beserta pakej pampasan pada 1 Jun ini. Pekerja yang menerima surat tawaran kerja akan me­nyambung kerjaya mereka di Malaysia Airlines Bhd. (MAB).

Menurut surat pe­keliling yang ditandatangani Ketua Pe­­gawai Eksekutif MAS, Christoph Mueller, notis pemberitahuan mengenai pakej berkenaan telah dihantar kepada seluruh pekerjanya pa­da 26 Mei lalu.

Pakej pampasan yang disediakan untuk kakitangan MAS adalah berlandaskan prinsip keadilan dan keprihatinan terhadap kebajikan kakitangan seperti digariskan dalam Pelan Pemulihan MAS.

Menurut sumber terdekat, ia termasuk faedah perubatan selama 12 bulan di samping bayaran khas tambahan kepada golongan memerlukan bantuan lebih seperti kakitangan orang kurang upaya (OKU) yang tidak mendapat tawaran pekerjaan bersama MAB.

Selain pakej itu ujarnya, Pusat Pembangunan Korporat (CDC) telah ditubuhkan untuk menyediakan perkhidmatan latihan serta bantuan mendapatkan pekerjaan baharu secara percuma buat kakitangan yang akan meninggalkan MAS.

“Kesemua ini di­sediakan bukan disebabkan tekanan dari mana-mana pi­hak, tapi atas dasar kemanusiaan.

“Pakej ini memperlihatkan penghargaan syarikat terhadap sumbangan kakitangan yang terlibat membina MAS sebagai ikon kebangsaan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
CDC berperanan sebagai pusat latihan selain dapat membantu mereka terlibat untuk merancang kerjaya bagi fasa seterusnya.

Antara intipati pakej tersebut adalah pembayaran asas yang akan diberi kepada semua pekerja MAS berdasarkan tempoh perkhid­matan didarab dengan kumpulan gred masing-masing.

Selain bayaran asas itu, kakitangan yang tidak menerima surat tawaran ke MAB akan diberi pembayaran Ex-Gratia dengan jumlah berbeza.

Bagi mereka yang berkhidmat sehingga 10 tahun akan menerima satu bulan gaji asas untuk setiap tahun perkhidmatan.

Kakitangan yang bekerja lebih 10 tahun manakala menerima satu bulan setengah gaji asas bagi setiap tahun perkhidmatannya.

Pekerja yang sedang mempunyai kontrak pekerjaan jangka tetap tidak layak bagi pembayaran Ex-Gratia.

Kakitangan pengurusan kanan syarikat termasuk Naib Presiden dan yang lebih tinggi adalah tertakluk kepada pakej pampasan berbeza.

Pekerja MAS yang tidak ditawarkan jawatan kekal di MAB akan terus menerima faedah perubatan bagi tempoh 12 bulan dari tarikh mereka keluar atau sehingga mereka mendapat pekerjaan baharu, yang mana lebih awal.

0 Comments
Disqus
Fb Comments
Comments :

0 Komen:

Catat Ulasan

Lazada Malaysia

Blog Serius - Serius Beb!