Pembangkang utama Myanmar, Parti Liga Demokrasi Kebangsaan (NLD) menggesa kerajaan untuk memberi kerakyatan kepada etnik Rohingya, sekali gus menyelesaikan kemelut berpanjangan membabitkan beribu-ribu orang hanyut di Laut Andaman.
Menerusi wawancara bersama akhbar The Independent, jurucakap NLD, U Nyan Win berkata, masalah pelarian Rohingya yang hangat diperkatakan pada hari ini perlu diselesaikan melalui undang-undang dan kerajaan Myanmar perlu melakukan pindaan.
Tambah Nyan Win, etnik Rohingya tinggal di negara ini sejak generasi pertama atau kedua sudah mempunyai kelayakan dan hak untuk diberikan kerakyatan.
“Jika etnik Rohingya tidak diterima sebagai rakyat, mereka tidak boleh dihantar begitu sahaja ke sungai atau diusir ke laut.
“Bagi saya, mereka mempunyai hak yang sama seperti orang lain sebagai manusia,” katanya.
Bagaimanapun pemimpin parti NLD yang juga merupakan ikon demokrasi Myanmar, Aung San Suu Kyi masih berdiam diri berhubung isu itu dan enggan mengulas tentang pemberian hak kerakyatan kepada etnik Rohingya.
Senada dengan kenyataan Nyan Win, sami Buddha paling berpengaruh di Myanmar, U Pinnyasiha mahu kerajaan pimpinan Presiden Thein Sein mengambil sikap bertanggungjawab untuk menyelesaikan isu kerakyatan dan pelarian Rohingya.
Jelasnya, kerajaan Myanmar bersikap lepas tangan terhadap masalah itu kerana Indonesia dan Thailand menggunakan perkataan Rohingya berbanding Benggali seperti yang ditawarkan kepada etnik tersebut untuk mendapatkan kerakyatan.
“Tetapi etnik tersebut menghadapi masalah besar kerana terpaksa hidup sebagai pelarian dan terkandas di laut. Saya berasa kasihan terhadap nasib mereka dan sebagai sami Buddha, saya mahu menghulurkan bantuan.
“Kerajaan perlu menyelesaikan isu ini dengan cara yang bermaruah dan bekerjasama dengan ASEAN bagi mencapai kata sepakat secara aman,” kata Pinnyasiha yang merupakan penentang tegar kumpulan anti-Islam yang diketuai kumpulan sami sejak beberapa tahun lalu.
Menurutnya, agama Buddha menuntut penganutnya menyelamatkan nyawa, membantu orang, dan menunjukkan sifat penyayang tanpa mengira warna kulit atau agama.