25 Mei 2015


Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim mempersoalkan penguatkuasaan yang longgar di kawasan Gunung Perlis di Wang Kelian di sini, kira-kira dua kilometer dari Thailand, sehingga menjadi bukan sahaja laluan pencerobohan pendatang asing tanpa izin (PATI) tetapi juga penempatan mereka sejak sekian lama.

Gunung Perlis yang mengambil masa sejam setengah perjalanan mendaki dari kaki gunung tersebut di hutan simpan Taman Nege­ri di sini, turut berkongsi puncak dengan negara jiran itu di sebelah kanan.

Shahidan yang meluangkan masa selama setengah jam untuk meninjau kawasan kaki bukit di situ ternyata berang kerana penguatkuasaan yang lemah sehingga gagal mengesan penempatan PATI di kawasan tersebut.

“Seharusnya penguat kuasa seperti renjer meninjau kawasan itu sekurang-kurangnya sebulan sekali, namun apa yang berlaku ia menjadi penempatan PATI sejak sekian lama.

“Di situ juga saya dimaklumkan oleh pihak berkuasa bahawa kita menemukan kubur-kubur besar mengandungi lebih 100 mayat warga asing. Mayat-mayat dicampak begitu sahaja (dalam lubang),” katanya di sini, hari ini.

Shahidan seterusnya percaya kegiatan itu turut melibatkan 
rakyat tempatan dan kemungkinan juga membabitkan pihak penguat kuasa, sekali gus menggesa golongan tersebut diambil tindakan sekiranya terbukti bersalah.

“Saya kesal kerana ini merupakan satu bentuk kezaliman manusia dan malangnya berlaku di negeri ini. Mereka meninggalkan kesan buruk yang cukup dalam kepada Perlis,” katanya yang enggan mendedahkan lokasi penemuan penempatan dan kubur lain.

Menurut beliau, maklumat lanjut berhubung penemuan kubur berkenaan akan dimaklumkan oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar yang akan melawat kawasan tersebut esok.
Katanya, beliau akan membuat laporan polis berhubung penguatkuasaan yang lemah di kawasan itu bagi mengelak perkara berkenaan berulang.

0 Comments
Disqus
Fb Comments
Comments :

0 Komen:

Catat Ulasan

Lazada Malaysia

Blog Serius - Serius Beb!