5 Mei 2015


TEPAT pukul 12 tengah malam tadi, tempoh kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Rompin selama 13 hari yang diperuntukkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kepada parti yang bertanding, berakhir secara rasmi.

Keputusan parti mana yang bakal menguasai kerusi Parlimen di selatan Pahang itu akan ditentukan hari ini oleh seramai 52,744 pengundi berdaftar di tiga kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) ia­itu Bukit Ibam, Muadzam Shah dan Tioman.

Khamis lalu, sebanyak 464 orang atau 85.1 peratus daripada 545 pe­ngundi awal menunaikan tanggungjawab mereka pada PRK tersebut.

Berkeluasan 520,700 hektar, lebih separuh atau 51.51 peratus pengundi dalam Parlimen Rompin adalah peneroka Felda dengan le­bih 24,603 orang pula merupakan pengundi muda.

PRK Parlimen Rompin diadakan ekoran kematian penyandangnya, Allahyarham Tan Sri Dr. Jamaludin Jarjis dalam nahas helikopter di Semenyih, Selangor pada 4 April lalu.

Dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13), Jamaludin mengekalkan kerusi berkenaan yang disandang­nya sejak 1990 selepas mengalahkan bekas Ketua Muslimat Pas Pusat, Nuridah Mohd. Salleh dengan majoriti 15,114 undi.

PRK kali ini menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara Barisan Nasional (BN) dengan Pas yang merupakan lawan tradisi di kerusi tersebut.

BN masuk gelanggang dengan mempertaruhkan Pemangku Ketua UMNO Bahagian Rompin, Datuk Hasan Arifin yang membuat kemunculan semula dalam pentas politik nasional.

Beliau yang menyambut ulang tahun kelahiran ke-62 pada 28 April lepas merupakan anak tempatan yang memiliki pengalaman luas di pelbagai peringkat politik dan pentadbiran kerajaan negeri termasuk pernah menjadi Timbalan Menteri Besar Pahang serta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Ibam.

Pas pula meletakkan calon muda berusia 40 tahun, Nazri Ahmad dalam usaha meruntuhkan penguasaan BN di kawasan berkenaan.

Nazri yang berasal dari Felda Keratong 5, Rompin itu merupakan Ketua Dewan Pemuda Pas Pahang dan baru sahaja menjawat jawatan Yang Dipertua Pas Kawasan Rompin pada 4 April lalu.

Pengundi akan menunaikan hak mereka dalam menegakkan proses demokrasi di 38 pusat daerah me­ngundi dengan 115 saluran dibuka dari pukul 8 pagi hingga 5 petang.

Jumlah keluar mengundi pada pilihan raya umum lalu adalah 85.9 peratus dan dalam PRK kali ini, sasarannya ialah 80 peratus.

Keputusan rasmi dijangka diketahui sekitar pukul 11 malam ini. Kelewatan itu berikutan keluasan Parlimen Rompin menyebabkan masa yang panjang diperlukan untuk proses penjumlahan undi di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah.

Pengundi di Parlimen Rompin tidak seharusnya mengambil mudah PRK kali ini dengan mengabaikan tanggungjawab mereka sebagai warganegara kerana setiap undi amat bernilai.

Kini, terserah kepada kebijaksanaan pengundi Parlimen Rompin untuk membuat keputusan bijaksana dalam memilih wakil rakyat yang diyakini mampu membela dan membawa suara mereka ke peringkat lebih tinggi.

0 Comments
Disqus
Fb Comments
Comments :

0 Komen:

Catat Ulasan

Lazada Malaysia

Blog Serius - Serius Beb!