27 Mei 2015


Dek kerana berjalan mesra dengan seorang wanita berambut pendek, penyanyi yang popular menerusi lagu Elegi Sepi, Azharina Azhar dituduh sebagai seorang lesbian. Menafikan perkara tersebut, penyanyi yang dikenali dengan nama Nina mendedahkan yang keluarganya terkesan dengan tuduhan tersebut.

"Dari dulu lagi orang bercakap buruk mengenai saya. Ada yang katakan saya dibela lelaki kaya selepas bercerai, ada pula yang menuding jari menuduh saya seorang lesbian apabila saya berjalan mesra berdua bersama seorang wanita berambut pendek sedangkan wanita itu adalah adik saya sendiri. Perkara ini membuatkan keluarga saya terkesan dengan kata-kata negatif yang dilemparkan oleh pihak tak bertanggungjawab. Namun begitu, keluarga saya tahu siapa saya sebenarnya," jelas Nina kepada Portal Murai.

Menepis dakwaan buruk yang mengatakan dia hidup atas tajaan, Nina menjelaskan yang selama ini dia sibuk menguruskan empat syarikat miliknya.

"Selama ini saya sibuk menguruskan enpat syarikat milik saya. Azharina Entertainment (syarikat pengurusan acara), Top 3 Production (syarikat penerbitan dokumentari dan drama), Nina Core Resources (syarikat hartanah) dan Glam Media Production (syarikat produksi yang bertumpu di Sabah). Saya juga menguruskan Kelab Artis 1 Malaysia Sabah yang mana saya bertindak selaku co-founder dan presiden. Jadi selama saya menyepikan diri dari industri hiburan, saya sibuk menguruskan syarikat saya dan tidak ditaja oleh sesiapa," ujar Nina yang ditemui di majlis pelancaran single terbarunya yang berjudul Cinta Kita Selamanya.

Bercakap mengenai lagu barunya yang dicipta oleh Dato' Adnan Abu Hassan, Nina tampil berbeza berbanding lagu-lagu popularnya sebelum ini. Lagu ini adalah hasil usahasama Azharina Entertainment dan Fas Subari.

"Jika sebelum ini lagu-lagu saya sering berkisarkan mengenai kekecewaan dalam bercinta, kali ini menerusi single Cinta Kita Selamanya, lagu ini membawa tema kebahagiaan dalam cinta. Proses penyediaan lagu ini hanya memakan masa selama sebulan sahaja dan diharap agar peminat dapat menerima baik buah tangan terbaru saya," ujarnya mengakhiri bicara.
0 Comments
Disqus
Fb Comments
Comments :

0 Komen:

Catat Ulasan

Lazada Malaysia

Blog Serius - Serius Beb!