26 Mei 2015


Serangan bertali arus DAP terhadap Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang serta partinya akan hanya membawa pakatan pembangkang ke ambang perpecahan.

Naib Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, DAP sewajarnya sedar bahawa Pas tidak akan melupakan cita-cita menegakkan agama Islam dan akan tetap mempertahankan prinsip perjuangan parti meskipun diasak bertubi-tubi.

Menurutnya, DAP berkali-kali berkata mereka mementingkan pakatan, tetapi tindakan menyerang Pas dan Presiden Pas bertubi-tubi pula membuktikan sebaliknya. Tindakan DAP ini sedang menolak pakatan ke ambang perpecahan.

“Isu serangan bertali arus DAP terhadap Pas amat menyakitkan dan ‘meluatkan’ (menyakitkan hati) akar umbi Pas. Perkara ini dijangka membawa kesan pada Muktamar Pas Ke-61 yang bakal menjelang. Maruah Pas sebagai parti berwibawa perlu dibela.

“Jika benar DAP sayangkan pakatan, hentilah menyerang Pas. Lupakanlah dan jauhilah sifat bermusuh, hormatilah perbezaan dan berusahalah untuk mendiamkan diri jika tiada apa yang baik untuk disebut mengenai rakan tahaluf,” katanya dalam kenyataan di laman Facebook miliknya hari ini.

DAP sejak kebelakangan ini dilihat banyak menyinggung Pas dalam beberapa perkara termasuk pendirian memutuskan hubungan dengan Abdul Hadi serta bantahan keras terhadap pelaksanaan hukum hudud di Kelantan.

Menurut Tuan Ibrahim, konsep tahaluf siyasi yang membenarkan kerjasama antara parti-parti pakatan sepatutnya digunakan untuk saling memperkasakan dan bukannya melemahkan mana-mana parti yang menjadi rakan tahaluf.

“Jangan salahkan Pas seandainya tahaluf dengan DAP ini terungkai kerana ahli Pas akan tetap mempertahankan prinsip perjuangan parti lebih-lebih lagi selepas ketiadaan Tuan Guru Nik Aziz (bekas Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Aziz Nik Mat).

“Betul kata (Penasihat DAP) Lim Kit Siang, Tuan Guru Nik Aziz sangat sayangkan pakatan. Namun begitu, percayalah beliau tidak akan sesekali menggadaikan prinsip parti demi memenuhi tuntutan rakan tahaluf yang mengharapkan Pas melupakan cita-cita Islamnya,” katanya.

Tegas beliau lagi, tuduhan Pas akan bergabung dengan UMNO juga adalah fitnah dan perkara itu telah diperjelaskan oleh Majlis Syura Ulama Pas, baru-baru ini.

0 Comments
Disqus
Fb Comments
Comments :

0 Komen:

Catat Ulasan

Lazada Malaysia

Blog Serius - Serius Beb!