18 Mei 2015


KEHADIRAN pelakon cantik Kareena Kapoor ke Malaysia baru-baru ini menggamit ratusan peminatnya untuk berkumpul di perkarangan kedai emas, Malabar Gold & Diamond yang terletak di Jalan Masjid India, Kuala Lumpur. Jika sebelum ini kehadiran kakaknya Karisma Kapoor, khabarnya menerima kritikan kerana sombong, nampaknya cara Kareena sedikit berbeza.

Kekal tersenyum bagai seorang permaisuri sepanjang majlis berlangsung, Kareena juga tidak lokek melambai ke arah peminatnya yang hadir.

Mungkin wanita berusia 34 tahun ini tahu ada di antara peminatnya yang hadir itu sudah menunggunya selama beberapa jam, jadi tidak ada salahnya dia berkongsi wajah yang lebih manis.

Merupakan kali kedua berada di negara ini selepas lapan tahun, tentunya bergelar pelakon terkenal sedikit menyukarkan dia berinteraksi secara selamba memandangkan dia dikawal rapi beberapa pengawal.

Bagaimanapun cuba mewujudkan suasana mesra dengan pihak media, Kareena ternyata tidak lokek menjawab setiap pertanyaan yang diajukan.

Mengenali dia sebagai seorang pelakon terkenal, siapa sangka Kareena sebenarnya lebih berbangga untuk dikenali sebagai isteri kepada pelakon Saif Ali Khan.

Menjalinkan hubungan selama lima tahun sebelum berkahwin pada tahun 2012, ternyata kekacakan suaminya menjadi antara sebab dia tertawan.

“Saya sangat bertuah, untuk memiliki seorang suami yang penyayang dan juga pelakon yang baik.

“Tentunya kekacakan dirinya juga adalah suatu bonus untuk diri saya,” katanya tersenyum ketika hadir ke perasmian Malabar Gold & Diamond yang ke-133 di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Bagaimanapun masih belum dikurniakan zuriat dengan Saif, Kareena nampaknya cukup bahagia dengan kehadiran dua anak tirinya iaitu Sara Ali Khan, 22, dan Ibrahim Ali Khan, 14.

Pada majlis yang sama, Kareena turut bercakap mengenai perihal rakan baiknya Salman Khan yang baru-baru ini didapati bersalah kerana kes langgar lari dan dijatuhkan hukuman penjara selama lima tahun.

“Saya akan muncul dengan filem Bajrangi Bhaijaan, yang saya lakonankan bersama Salman Khan di Kashmir. Ternyata sepanjang penggambaran itu saya banyak membantu Salman dalam memberikan sokongan moral kepada dirinya. Seperti yang kita tahu dia sedang melalui waktu sukar kini.

“Saya akan bertemunya sekali lagi dalam waktu terdekat ini, jangan risau dia dalam keadaan yang baik,” katanya sebelum berlalu dibawa pengawal peribadi yang menjaganya sepanjang majlis itu berlangsung.

Sementara itu, bercakap mengenai barang kemas yang diwakilinya ini, jelas Kareena, dia tidak dapat menolak rasa yang sama seperti wanita lain.

“Saya memang seorang penggemar koleksi barangan perhiasan bertatahkan belian. Oleh itu, saat ditawarkan menjadi duta Malabar Gold & Diamond peluang tersebut pasti tidak akan dilepaskan.

“Selain itu juga mengapa saya teruja untuk menjadi duta kepada produk yang sudah berada di 57 negara ini adalah kerana cara mereka melayan saya seperti keluarga sendiri. Perlu kamu semua tahu saya cukup mementingkan cara layanan terhadap diri saya yang saya percaya seorang wanita harus dilayan dengan baik,” katanya.

0 Comments
Disqus
Fb Comments
Comments :

0 Komen:

Catat Ulasan

Lazada Malaysia

Blog Serius - Serius Beb!